EventHiburan

Wings Buktikan Aura Masih Utuh, Tampil Bertenaga Di Showcase ‘Wings Sunday Night Live’

Selepas mencipta fenomena pada siri pembukaan Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur minggu lalu, kumpulan rock legenda, Wings sekali lagi membuktikan aura mereka masih utuh apabila lebih 700 peminat membanjiri Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai lalu bagi menyaksikan kesinambungan showcase eksklusif itu. 

Persembahan selama hampir satu jam setengah itu menyaksikan Wings tampil cukup bertenaga dengan gabungan lagu klasik yang menjadi siulan peminat bersama beberapa karya daripada album terbaharu mereka.

Membuka tirai dengan Inspirasi Taming Sari, momentum persembahan terus memuncak menerusi Jerangkung Dalam Almari, Bujang Senang, Di Ambang Wati, Yes I Know dan Aku Pun Tahu, sebelum Awie menyapa peminat dalam satu sesi interaksi ringkas yang disambut sorakan gemuruh.

Suasana bertambah hangat apabila Wings menghidangkan deretan lagu malar segar seperti Peronda Jaket Biru, Rock N Roll Lu Punya Suka, Jumpa Hilang, Bernafas Dalam Lumpur dan Hukum Karma, yang dinyanyikan beramai-ramai oleh peminat sehingga bergema memenuhi ruang Hard Rock Cafe.

Selepas ucapan penghargaan kepada peminat, persembahan diteruskan dengan lagu daripada album Wings New Era iaitu Taman Rashidah Utama, sebelum nostalgia kembali menguasai pentas menerusi Harapan, Mabuk Tujuh Lautan dan ditutup penuh bertenaga dengan Sejati.

Walaupun persembahan rasmi berakhir ketika jarum jam menghampiri pukul 12 tengah malam, laungan “encore” daripada peminat tidak pernah terhenti. Malah, ramai masih setia berdiri di hadapan pentas, enggan berganjak walau sesaat.

Melihat sambutan luar biasa itu, Wings menghadiahkan tiga lagu tambahan iaitu Lipas Kudung, Entah Kiri Entah Kanan dan Hutan Simpan sebelum menoktahkan malam penuh bermakna itu menerusi Dalam Kehadiran Sofea, sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada seluruh hadirin.

Lebih mengujakan, sebahagian besar peminat bukan sekadar menyaksikan persembahan, malah menyanyikan setiap bait lagu bersama Awie, Syam, Edrie Hashim, Am dan Pae, sekali gus menghidupkan kembali suasana era kegemilangan persembahan live band yang pernah sinonim dengan Hard Rock Cafe.

Kejayaan dua siri di Kuala Lumpur dan Melaka membuktikan jenama Wings Sunday Night Live masih mempunyai tarikan luar biasa, sekali gus memperlihatkan hubungan erat antara Wings dengan peminat yang terus setia menyokong perjalanan muzik mereka lebih empat dekad.

Showcase ini dianjurkan menerusi kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe dan RPM Label sebagai platform mempromosikan album, selain menghidupkan semula budaya persembahan rock secara lebih intim bersama peminat. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Alang Nordin

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button