
Zarif Ghazzi Akui Tolak Tawaran Lakonan Lain, Turunkan Berat Badan 21 Kilogram Demi Jayakan Watak ‘Abbas’
Pelakon yang semakin meningkat naik, Zarif Ghazzi mengakui dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan demi menjayakan wataknya sebagai Abbas dalam siri Kudrat 1968: High Council.
Zarif berkata, sepanjang tempoh enam bulan proses pembikinan siri berkenaan, dia mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap watak berkenaan.
“Memang sepanjang tempoh tersebut, saya ada menolak beberapa tawaran lakonan lain kerana ia turut memberi kesan kepada mental dan fizikal saya.
“Saya betul-betul nak mendalami watak ‘Abbas’ itu, jadi saya tidak mahu perkara-perkara lain mendatangkan gangguan untuk saya jayakan watak ini,” jelasnya.
Zarif berkata demikian ketika ditemui semasa acara tayangan perdana siri Kudrat 1968: High Council, yang berlangsung pada minggu lalu.

Pada masa sama, pelakon itu juga mendedahkan dia berhadapan cabaran apabila perlu menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram untuk mendapatkan fizikal yang sesuai dengan watak Abbas.
Ujarnya, dia perlu dilihat dengan penampilan budak sekolah yang miskin dah berusia 16 tahun dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram dalam masa empat bulan.
“Itu juga antara menjadi sebab utama saya terpaksa menolak tawaran lain kerana merasakan tubuh dan berat badan pada masa itu tidak sesuai untuk saya bawakan watak hero dalam naskhah lain,” jelasnya.
. Kudrat 1968: High Council akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula hari ini (11 September). – KopiPlanet.com



