Cerita ArtisHiburan

Zoey Rahman Hadiahkan Kondominium RM500,000 Buat Ibu Bapanya

Hasil usaha pelakon Zoey Rahman berhempas pulas menjalankan perniagaan produk kosmetik dan penjagaan kulit miliknya, Mika Series berbalas apabila dia berjaya menghadiahkan sebuah unit kondominium di Cheras, Kuala Lumpur yang berharga RM500,000 kepada kedua ibu bapanya, Azizah Ibrahim, 63, dan Abd. Rahman Ngah, 77.

Zoey atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, dia melihat kejayaan perniagaannya adalah hasil berkat doa kedua-dua orang tuanya yang tidak jemu memberikan semangat dan dorongan untuknya terus berjaya dalam hidup.

“Keluarga saya memang tak tahu saya nak buat kejutan hadiahkan rumah kepada ibu bapa saya. Saya hanya cakap dengan mereka, hari ini untuk majlis makan-makan biasa sahaja.

“Saya memang dah berniat nak balas jasa selain beri penghargaan buat kedua ibu bapa yang selama ini sentiasa menyokong saya. Bila saya rasa down dalam perniagaan, ibu dan ayah sentiasa ada dan bagi kata-kata semangat untuk saya,” jelasnya.

Zoey berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik dan penjagaan kulit miliknya, Mika Series yang diadakan di Magika, Quill City Mall, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zoey, ibu bapanya juga sering mengingatkan dirinya agar tidak meninggalkan solat.

“Alhamdulillah berkat doa mak ayah, saya dah sampai ke tahap ini. Ini hadiah paling besar yang pernah saya berikan buat ibu dan ayah saya.

“Mak dan ayah saya tinggal di Terengganu, jadi terpulang kepada mereka sama ada nak jadikan rumah di Kuala Lumpur ini sebagai rumah persinggahan mereka atau nak dijadikan bisnes homestay. Semua saya serahkan pada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Zoey memberitahu perniagaannya itu mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya menembusi pasaran Watson.

“Bukan senang nak tembus pasaran Watson, namun akhirnya segala penat lelah berbayar apabila produk saya akan mula dijual di situ bermula awal November ini.

“Sebagai pengusaha produk, saya akui ramai yang tak tahu saya merupakan pemilik Mika Series tapi saya lebih senang dengan cara pemasaran begini.

“Saya mahu produk lebih ditonjolkan daripada diri saya yang ke hadapan, kalau kita lihat produk antarabangsa, kita pun tak tahu siapa pemiliknya. Itu yang cuba saya terapkan pada Mika Series”, ujarnya lagi.

Mika Series merupakan rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik yang sesuai digunakan untuk lelaki dan perempuan.

> Baca: Banyak Tawaran Berlakon, Syifa Melvin Mahu Lebih Fokus Pada Perniagaan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai soal menamatkan zaman bujang, Zoey berkata, “Mak saya selalu tanya bila nak tamatkan zaman bujang. Kalau ada jodoh adalah.”

“Saya serahkan kepada Allah sebab soal rezeki, jodoh, ajal maut Allah yang tentukan. Kalau boleh semua orang nak kahwin, semua orang nak bahagia.

“Nak ada anak dan isteri, habiskan masa kualiti bersama keluarga, semua impikan kehidupan seperti itu. Namun, kalau kita plan macam mana pun, kalau Allah kata belum ada jodoh, belum ada lagilah tu.

“Saya tak risau (tak kahwin lagi) sebab zaman sekarang bukan macam zaman dulu, kalau dah masuk usia 30-an tak kahwin lagi itu dah jadi perkara biasa.

“Ramai je di luar sana orang umur 40 dan 50 tahun tak kahwin lagi sebab mereka fokus kepada bisnes dan apa sahaja yang mereka lakukan pada ketika ini,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button