• FOLLOW US
Event, Hiburan

Sambutan Hangat, 10,000 Peminat Banjiri Konsert Jason Mraz

Kunjungan kali ketiga penyanyi antarabangsa, Jason Mraz ke Kuala Lumpur nampaknya masih mendapat sambutan meriah daripada peminat setia yang sudah lama menantikan kedatangannya ke sini.

Dibanjiri lebih 10,000 penonton di Axiata Arena, konsert jelajah Good Vibes itu pastinya meninggalkan seribu satu memori manis buat peminat penyanyi kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu.

Konsert bermula tepat jam 8.30 malam dengan artis pembuka tirai, Zee Rahmat yang menyanyikan lagu All I Ask dendangan asal Adele sebelum Aizat Amdan mengambil alih pentas dengan single Sampai Ke Hari Tua.

Jam 9.00 malam, pentas digelapkan sebelum Jason, 42, muncul dengan lagu pembukaan You and I Both. Tampil santai dengan persalinan ‘one piece’ berwarna hitam bercorak neon, Jason kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Let’s See What The Night Can Do, Living In The Moment dan Geek In The Pink.

Jason kemudiannya mengambil sedikit masa mengucapkan penghargaannya di atas sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi terhadapnya sejak memulakan karier seni pada 20 tahun lalu.

Sempat melontarkan,” Apa khabar Kuala Lumpur?”, pertanyaan itu mendapat sorakan gamat daripada hadirin yang teruja dengan sikap ‘cheeky’ penyanyi yang pernah memenangi anugerah Grammy itu.

Jason kemudiannya meneruskan persembahan bertenaga di samping lima pemuzik wanita yang menggayakan persalinan berwarna-warni senada dengan imej dan poster Good Vibes.

Antara seleksi lagu yang pastinya tidak ketinggalan dinyanyikan adalah lagu kegemaran semua, I’m Yours, I Won’t Give Up, Lucky, A Beautiful Mess, Be Honest, Love Is Still The Answer, 3 Things, Have It All dan Might As Well Dance.

Menutup persembahan dengan lagu Love Someone, Jason turut mengingatkan peminatnya agar terus mengejar mimpi kerana tiada impian yang tidak boleh digapai sekiranya kita berusaha keras mendapatkannya. Good show Mr. Mraz!

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Jason telah menghasilkan enam album studio iaitu Waiting for My Rocket To Come (2002), Mr. A-Z (2005), We Sing. We Dance. We Steal Things (2008), Love Is A Four Letter Word (2012), Yes! (2014) dan Know (2018). – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend