Cerita ArtisHiburan

9 Selebriti Peneraju Dewan Perniagaan Artis (DPA)

Sembilan selebriti popular tanah air telah dipilih menganggotai badan bukan kerajaan (NGO) Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) yang bertujuan memberi bimbingan kepada selebriti mengenai selok-belok perniagaan.

Selebriti-selebriti tersebut terdiri daripada Pengerusi DPA, Diana Danielle Danny Beeson, Farid Kamil, Bront Palarae, Hazama, Hafiz, Akim, Stacy, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Menurut Diana, DPA ditubuhkan bagi menghimpunkan golongan selebriti yang mempunyai minat serta kesungguhan untuk bergelar usahawan yang berjaya dan berintegriti supaya mendapat bimbingan yang betul, seterusnya mampu bergiat lebih serius dalam perniagaan berskala besar.

“Demi masa depan yang cerah, golongan artis tidak boleh bergantung kepada bidang seni semata-mata, sebaliknya mereka perlu mempunyai pelan sandaran yang lebih terjamin.

“Saya seronok melihat ramai rakan artis bergelar usahawan malah ada yang sudah mampu memiliki premis perniagaan. Oleh itu, kami ingin mengajak lebih ramai lagi selebriti yang berminat untuk bergelar usahawan menyertai Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia.

“Pelbagai ilmu dan bimbingan perniagaan yang lengkap akan dikongsikan supaya golongan artis memiliki ilmu yang cukup untuk bergelar usahawan seterusnya mampu menjalin kerjasama sama ada dengan sektor awam malahan juga pihak swasta.

Setiap ahli yang menyertai badan ini diwajibkan mengangkat sumpah memerangi rasuah kerana kita tidak mahu imej DPA tercalar sekiranya wujud konflik berkepentingan,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia di Hotel Royal Chulan, Damansara, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor. Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Surayati Ibrahim dan Presiden DPA, Datuk Shahrul Nizam Yunos.

Menurut aktres itu lagi, DPA mempunyai sasarannya tersendiri, iaitu ingin mengumpulkan seramai 200 ahli menjelang lima tahun akan datang.

“Memang hasrat presiden DPA, Datuk Shahrul Nizam ingin melihat para artis mampu menguruskan perkara yang luar daripada bidang seni. Itulah juga penyebab tertubuhnya badan ini.

“Bagi memastikan mereka yakin dengan DPA, di peringkat permulaan kita akan bantu mereka menjalankan perniagaan yang memfokuskan projek kerajaan di dalam sektor pembinaan dan pembekalan.

“Setelah golongan selebriti ini berjaya dibimbing, kita akan memastikan mereka menjadi mentor kepada artis yang baru menceburi bidang keusahawanan. Ini bersesuaian dengan objektif DPA yang ingin melahirkan usahawan selebriti yang berintergriti dan mampu menjadi contoh kepada muka baru,” katanya lagi.

Sejajar dengan inisiatif ini, Diana berharap penubuhan DPA mampu melonjakkan nama golongan selebriti dalam bidang perniagaan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button