
Pasangan hos Meletop, Nabil Ahmad dan Neelofa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding Anugerah Meletop Era 2019 (AME 2019).
Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad menerusi sidang media pengumuman Top 5 finalis Anugerah Meletop Era 2019 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Neelofa, dia dan Nabil sebulag suara menarik diri bagi memberi ruang kepada selebriti lain untuk bertanding.
“Kami dah enam tahun menerima pencalonan akhir Anugerah Meletop Era. Bila saya menang, banyak benda yang tidak elok saya dengar tentang kemenangan itu, jadi kali ini kami telah ambil keputusan untuk menarik diri.
“Kami sukarela ambil keputusan ini dan bukan bersandarkan tekanan daripada mana-mana pihak.
“Keputusan ini dibuat untuk beri peluang kepada selebriti lain selain saya harap selepas ini tiada lagi timbul isu tuan rumah asyik menang,” katanya kepada KopiPlanet.com
Menerusi AME 2019, Neelofa menerima pencalonan awal menerusi dua kategori iaitu Hos Meletop dan Fesyen Meletop manakala Nabil menerusi Hos Meletop.
Sementara itu, Remy Ishak, Syafiq Kyle dan Fattah Amin menerima pencalonan paling banyak apabila tercalon dalam tiga kategori iaitu Fesyen Meletop, Bintang Filem Meletop dan Pelakon TV Meletop.
Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dalam AME 2019 yang akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 21 April ini.
Anugerah yang bertemakan Glam ini akan diacarakan oleh trio hos, Nabil, Neelofa dan Jihan Muse. – KopiPlanet.com