
Bermula pada 8 September 2017, peminat tegar segmen komedi di Malaysia bakal dihangatkan lagi dengan pelbagai aksi lawak spontan oleh 16 orang ‘gengster & mafia’ yang juga merupakan
pelawak serta selebriti terkenal tanah air menerusi program ‘Super Spontan Superstar 2017’ yang disiarkan secara langsung dari Dewan Percubaan UPM, Serdang pada setiap Jumaat, pukul 10.00 malam selama lapan minggu berturut-turut.
Raqim Ahmad, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Super Spontan Superstar 2017 kali ini menampilkan barisan pemain yang cukup dikenali dan diminati oleh penggemar hiburan komedi di Malaysia.
“Mereka ini merupakan ‘Superstar’ dan berada dalam liga yang tersendiri. Di atas permintaan peminat, kami sekali lagi membawakan beberapa pelawak kegemaran ramai seperti Achey, Fad, Syuk, Rahim, Shahrol, Shuib, Atu, Ozlynn, dan Zulin, malah persaingan dilihat akan menjadi lebih sengit oleh kerana nama-nama yang hadir pada kali ini.
“Istimewanya lagi musim ini, buat julung kalinya kami membawa masuk dua orang pelawak solo yang semakin melonjak naik populariti mereka iaitu Danial dan Fikry yang masing-masing merupakan pemenang pertama dan ketiga bagi program komedi ‘Lawak Solo’,” jelasnya pada satu majlis pelancaran baru-baru ini.
Jelas Raqim, mereka masih mengekalkan format permainan asal kerana penonton sudah arif dengan format dan permainan yang dimainkan dalam program ini seperti pemberian kad imuniti yang mula diperkenalkan pada musim lalu.
Ujarnya lagi, kad imuniti akan diberikan kepada seorang pemain pilihan penonton untuk menjadikan pemain tersebut kebal daripada penyingkiran.
“Untuk meningkatkan rasa keterujaan, kami tidak akan mendedahkan pada minggu ke berapa kad imuniti tersebut bakal diberikan kepada pemain. Mereka perlu tampilkan persembahan terbaik dari minggu ke minggu demi memastikan kad imuniti itu bakal menjadi milik mereka,” katanya.
Bagi penganjuran musim ini, kesemua pemain dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama iaitu kumpulan ‘Tenggiling Taiko’ diketuai oleh Achey dan turut dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Danial, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Sharifah Shahira dan Ozlynn.
Kumpulan yang kedua pula iaitu kumpulan ‘King Musang’ juga terdiri daripada barisan pemain yang bukan calang-calang. Diketuai oleh Shuib, ‘King Musang’ dianggotai oleh Syuk Joras, Atu Zero, Fikry, Fad Bocey, Kamal Adli, Amy Mastura dan Zulin.
Juara ‘Super Spontan Superstar 2017’ akan membawa pulang RM100,000.00 beserta trofi. Naib juara akan meraih RM50,000.00 dan trofi manakala pemenang tempat ketiga akan memenangi RM25,000.00 dan trofi. Pemenang tempat keempat sehingga kelapan pula akan mendapat wang sagu hati bernilai RM5,000.00 setiap seorang.
Seperti penganjuran musim-musim sudah, Super Spontan Superstar 2017 masih meneruskan konsep ‘berhibur sambil beramal’ apabila pada setiap episod, juara mingguan akan mendermakan sejumlah RM5,000.00 kepada badan-badan kebajikan terpilih.
Pertemuan kesemua ‘gengster & mafia’ tersebut boleh disaksikan di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan di platform digital iaitu menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’. Bagi siaran minggu pertama, penonton turut boleh menonton di Astro Prima (saluran 105), Maya HD (saluran 135)




