Selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2022, Festival Filem Video Pelajar Malaysia Ke-14 (FFVPM14)kembali dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai platform untuk mengiktiraf karya, mencungkil bakat baharu dan memperkasa kreativiti generasi muda dalam bidang perfileman negara.
Dianjurkan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), FFVPM14 akan berlangsung pada 12 hingga 13 November 2026 bertempat di Dewan Kuliah Utama dan Panggung Eksperimen, ASWARA.
Mengangkat slogan “Manifestasi Madani, Mahakarya Gergasi”, festival ini menghimpunkan sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh negara.
Sebanyak 22 kategori pertandingan dipertandingkan bagi memberikan ruang kepada pelajar mengetengahkan kreativiti, idea dan kemahiran dalam penghasilan karya audiovisual.
Lebih menarik, malam kemuncak FFVPM14 turut menghimpunkan alumni ASWARA yang telah mencipta nama dalam industri kreatif dan hiburan tanah air. Kehadiran mereka sebagai penyampai trofi dan artis persembahan bukan sahaja memeriahkan acara, malah mencerminkan kejayaan alumni ASWARA dalam pelbagai bidang kreatif.
Antara yang bakal menyerikan malam kemuncak tersebut ialah kumpulan Floor 88, Amirul Affendi, Ariff Zirkarnain, pengarah filem Baga dan 1 Cent Thief, Aiman Arif, pemenang kategori Editor Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), serta Zulin Aziz dan Kai Hassan.
Penglibatan alumni ini bukan sahaja menambah kemeriahan acara, malah memperlihatkan kesinambungan hubungan antara ASWARA dengan graduannya yang kini aktif dalam industri kreatif negara.
Malam kemuncak FFVPM14 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Facebook rasmi ASWARA dan FINAS pada 13 November 2026, dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, bagi membolehkan khalayak mengikuti detik kemuncak festival ini.

Dalam usaha memperluas pendedahan terhadap karya dan bakat pelajar, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menjalinkan kerjasama strategik dengan FFVPM14. Menerusi kerjasama ini, RTM akan menyiarkan video-video pendek terbaik daripada 22 kategori yang dipertandingkan melalui platform RTM Klik sekali gus membuka peluang kepada karya pelajar untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.
Rektor ASWARA, YBhg. Datuk `Ainu Sham Haji Ramli berkata, penganjuran semula FFVPM merupakan usaha untuk mengembalikan sebuah platform yang memberi pengiktirafan kepada kreativiti pelajar serta menggalakkan penghasilan karya yang mencerminkan pemikiran dan perspektif generasi baharu.
“Inisiatif ini bukan sekadar mengembalikan sebuah festival, tetapi turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengetengahkan kreativiti, meneroka pelbagai pendekatan penceritaan dan memperlihatkan potensi mereka dalam penghasilan karya audiovisual.
“Kami mahu festival ini menjadi platform yang menggalakkan pelajar berani berkarya, mencabar kreativiti serta mengembangkan perspektif mereka melalui medium filem.
“Penerimaan sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi bagi edisi kali ini memperlihatkan penglibatan pelajar dalam bidang perfileman yang wajar terus diberikan sokongan dan pengiktirafan. Setiap karya membawa idea, perspektif dan pendekatan kreatif tersendiri, sekali gus menyediakan ruang untuk bakat muda menampilkan keupayaan mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah institusi yang memfokuskan pendidikan seni, budaya dan warisan, ASWARA komited melahirkan generasi penggiat kreatif yang bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah berupaya menghasilkan karya berkualiti serta berdaya saing.
Melalui penganjuran festival seperti FFVPM, pelajar berpeluang menguji idea, memperhalusi kemahiran dan memahami tuntutan penghasilan karya dalam persekitaran yang mengutamakan kreativiti, disiplin profesional serta kerjasama.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib pula berkata, FFVPM telah membuktikan peranannya sebagai platform berprestij dalam mencungkil, mengasah, serta mengetengahkan bakat baharu sinema mahasiswa. Usaha sinergi ini amat bertepatan dengan aspirasi FINAS untuk memacu pertumbuhan industri kreatif tempatan berteraskan kualiti, daya cipta, dan keaslian naratif tempatan.
“Karya-karya yang dipertandingkan dalam FFVPM14 bukan sahaja memperlihatkan keberanian anak muda meneroka pelbagai genre dan teknik sinematografi moden, malah menjadi cerminan pemikiran kritis generasi baharu terhadap isu-isu masyarakat.
“Saya yakin dan percaya, para peserta festival ini bakal menjadi pelapis serta pemacu utama kemajuan industri perfileman tanah air ke persada antarabangsa pada masa hadapan. Saya juga harap mereka akan manfaatkan wadah ini sebagai ruang pembelajaran profesional dan pembinaan jaringan industri yang mampan. Teruskan berkarya dengan memartabatkan nilai budaya, etika, dan integriti yang tinggi,” katanya lagi.
LIMA KATEGORI UTAMA, DUA KATEGORI KHAS
Daripada 22 kategori yang dipertandingkan, lima kategori utama menjadi antara pengiktirafan tertinggi dalam FFVPM14 bagi menghargai kecemerlangan karya kreatif pelajar. Kategori tersebut merangkumi Anugerah Keseluruhan, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Filem Animasi Pendek Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Selain itu, FFVPM14 turut menampilkan dua kategori khas, iaitu Anugerah Bakat Muda dan Anugerah Khas Juri. Kedua-dua kategori ini melengkapkan usaha festival dalam memberikan pengiktirafan kepada bakat serta pencapaian kreatif pelajar.
Kepelbagaian kategori yang ditawarkan mencerminkan keluasan bidang penghasilan audiovisual dan memberi peluang kepada peserta untuk menampilkan kekuatan masing-masing, sama ada dari segi penceritaan, pengarahan, kreativiti visual mahupun pendekatan teknikal.
PENJURIAN FASA PERTAMA SELESAI, PEMILIHAN PEMENANG UTAMA MENYUSUL
Proses penjurian fasa pertama bagi pemilihan calon Top 5 untuk 20 kategori pertandingan FFVPM14 telah selesai dilaksanakan barisan juri profesional secara telus dan berintegriti. Proses penjurian seterusnya bagi menentukan pemenang utama daripada kalangan calon Top 5 bagi setiap kategori akan berlangsung dalam masa terdekat.
Proses penjurian ini merupakan antara elemen penting dalam memastikan setiap karya dinilai berdasarkan kreativiti, keaslian idea, kekuatan penceritaan dan aspek teknikal yang bersesuaian dengan keperluan kategori masing-masing.
Pemilihan karya terbaik turut memberikan pengiktirafan kepada usaha dan komitmen para peserta, selain menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus mengembangkan potensi serta meningkatkan mutu penghasilan karya audiovisual.
MEMPERKASA BAKAT MUDA DAN INDUSTRI KREATIF
Selain mengiktiraf hasil kreativiti pelajar, FFVPM14 turut berperanan sebagai medium untuk mempertemukan bakat muda daripada pelbagai institusi, sekali gus menggalakkan perkongsian idea dan pengalaman dalam kalangan peserta yang mempunyai minat terhadap bidang perfileman.
Pendedahan melalui platform seumpama ini berpotensi membantu pelajar memahami peluang dan keperluan industri, di samping membina keyakinan untuk melangkah ke dunia profesional selepas menamatkan pengajian.
Penganjuran semula FFVPM14 diharap dapat mengukuhkan kedudukan festival ini sebagai platform penting dalam pembangunan bakat muda, memperluas jaringan antara institusi pendidikan dengan industri serta menyokong pertumbuhan ekosistem perfileman dan kandungan audiovisual tempatan.
Melalui kesinambungan penganjuran festival ini, ASWARA berharap lebih ramai bakat baharu dapat diketengahkan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri kreatif negara yang lebih dinamik, berdaya saing dan berteraskan kreativiti generasi masa hadapan.
Festival Filem Video Pelajar Malaysia Ke-14 (FFVPM 14)
Senarai Kategori
Kategori Utama
- Anugerah Keseluruhan (Best of The Best)
- Filem Pendek Terbaik
- Filem Dokumentari Pendek Terbaik
- Filem Animasi Pendek Terbaik
- Video Muzik Terbaik
Kategori Pertandingan
Tatarias Terbaik
Skrip Terbaik
Pengarah Harapan Terbaik
Pelakon Harapan Lelaki
Pelakon Harapan Wanita
Pelakon Harapan Kanak-Kanak
Sinematografi Terbaik
Susunan Muzik Terbaik
Poster Terbaik
Kesan Khas Terbaik
Rekaan Set Terbaik
Penyunting Terbaik
Penataan Seni Terbaik
Kostum Terbaik




