
“Ada Kebaikan Dan Kekurangan Jika Ambil Pelakon Veteran” – Rafiena
Pemilik rumah produksi DarkWave Pictures, Datuk Rafiena Ezanee Ramli menyambut baik saranan yang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tidak membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama dan telefilem.
Bagaimanapun, Rafiena menyatakan bahawa ia melihat peraturan itu juga mempunyai kebaikan dan kekurangannya sendiri terhadap sesuatu karya tersebut.
“Sebagai seorang penerbit saya faham sebab kalau pelakon muda dah ambil tempat pelakon veteran, kesian pula pada mereka (pelakon senior). Sebenarnya perkara ini ada kebaikan dan kekurangannya jika ia dilaksanakan.
“Misalnya, apabila dia dah bayangkan pelakon itu waktu muda sebegitu dan sudah pastinya bila watak dia dah tua, saya tak nak wajah itu lari jauh daripada wajah mudanya kerana penonton kadang-kadang bukan tengok cerita itu dari awal. Kalau kita tukar kepada pelakon veteran apabila watak dia dah tua, saya risau penonton keliru pula nanti.
“Disebabkan itu dalam setiap drama yang diterbitkan, saya akan tetap kekalkan konsep campuran pelakon baharu dan lama. Saya tidak peduli kalau ada pelakon baharu yang naik disebabkan pengikut media sosial kerana apa yang saya cari adalah pelakon yang betul-betul berbakat serta boleh berlakon,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada KopiPlanet.com pada majlis tayangan khas drama Syurgaku Tak Sempurna 2 yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur semalam.
Semalam, Pengerusi FINAS iaitu Datuk Hans Isaac mengumumkan syarat baharu itu dikenakan bagi menjaga hak dan kebajikan artis veteran.
Menurut Rafiena, dia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada pelakon senior, malah memberikan karakter yang cukup berat dan seiring dengan watak hero dan heroin menerusi drama yang diterbitkan syarikat produksinya miliknya.
“Pelakon-pelakon baharu ini perlu dibantu dengan barisan pelakon lama yang berbakat dan hebat supaya cerita itu tidak ‘flat’ (mendatar). Katalah saya letak pelakon baharu kacak macam Tom Cruise sekalipun, tetapi kalau jalan cerita mendatar sahaja, siapa yang nak tengok dan disebabkan itu saya sering bagi watak yang cukup kuat untuk pelakon-pelakon senior ini untuk membantu perkembangan sesebuah cerita itu.
“Pendapat saya, ada cerita yang memang memerlukan pelakon-pelakon muda ini dimekapkan jadi tua, tetapi ia hanya sesuai kalau kita nak tunjukkan mereka tua dalam tujuh atau lapan tahun akan datang. Kalau dah lebih 20 tahun selepas itu, memang tidak sesuailah dan harus guna khidmat pelakon senior.
“Yang paling penting bagi saya, setiap penerbit perlu tampil dengan jalan cerita yang kuat serta barisan pelakon yang memang boleh berlakon agar sesuatu karya itu bermutu dan diterima ramai,” ujarnya lagi.
Sementara itu, drama Syurgaku Tak Sempurna 2 yang merupakan sekuel Syurgaku Tak Sempurna kini sudah memasuki episod ke-20 di saluran Unifi TV 116.
Ia dibintangi Raja Ilya, Shah Iskandar, Haliza Misbun, Datuk Seri Eizlan Yusof, Liza Abdullah, Zaidi Omar, Arja Lee dan Zarina Zainordin. – KopiPlanet.com



