
Mira Filzah Kini Sah Bergelar Isteri Kepada Anak Timbalan Menteri
Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, seorang arkitek, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, dengan sekali lafaz tepat jam 8.58 malam dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Mira, Badioezaman Ab. Khalik sambil disaksikan Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah.
Pengantin perempuan menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Mira menerima sembilan dulang hantaran berbalas sebelas. Antara hantaran istimewa Mira untuk suaminya ialah seutas jam tangan yang dihantar khas ke Hong Kong untuk proses pengukiran nota pendek Mira kepada Emir yang diukir di belakang jam tersebut.
Lima daripada 11 hantaran Mira dibuat sendiri oleh nenek Mira yang kini berusia 81 tahun. Antara hantaran tersebut ialah kek fondant, tepak sirih, sirih junjung, halwa dan biskut. Kek pernikahan Mira juga merupakan hasil air tangan nenek Mira sendiri.

Kata Mira walaupun sudah bergelar isteri, “Mira akan terus menyambung kerjaya dengan lakonan seperti biasa dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas segala sokongan yang diberi sejak awal kerjaya saya sehingga hari ini. Doakan yang terbaik untuk saya dan suami.”
Majlis pernikahan penuh meriah itu dihadiri 250 tetamu yang terdiri daripada keluarga, sanak-saudara, rakan terdekat dan pihak media.

Pada majlis bertemakan Mihrab Cinta itu, Mira menggayakan busana baju kurung Pahang rona putih rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini manakala wajahnya ditatarias jurusolek Yna Sakinah.
Mira sebelum ini mendedahkan Emir yang juga merupakan anak sulung kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid telah menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon filem Sangkar itu sebagai permaisuri hatinya pada Disember tahun lalu.
Majlis pertunangan mereka telah berlangsung pada 17 Julai lalu, manakala dua lagi majlis resepsi bakal diadakan pada esok hari di Le Meridian, Putrajaya dan diikuti di A-Park, Pulau Meranti, Puchong pada Ahad ini. – KopiPlanet.com



