
Jika sebelum ini kita sering kali dihidangkan dengan program realiti nyanyian, kali ini jenama produk rempah ratus terkenal, Baba’s cuba membawa kelainan dengan mengetengahkan bakat si tukang masak.
Bagi tujuan itu, Baba’s telah menerbitkan program realiti Versus 1001 Rasa Baba’s dalam usaha mencungkil bakat baharu yang bakal bergelar chef selebriti.
Menurut Ketua Pengiklanan dan Promosi Baba’s, Claudian Navin Stanislaus, Versus 1001 Rasa Baba’s merupakan hadiah kepada pengguna setia jenama terbabit sejak 40 tahun lalu.
“Program ini bertujuan untuk mencari lagi bakat-bakat baharu dalam bidang memasak sehingga membolehkan mereka bergelar chef selebriti.
“Rancangan ini bukan sahaja menarik minat kaum wanita, sebaliknya turut mendapat perhatian di kalangan kaum lelaki, malah ada yang dari golongan profesional seperti peguam dan doktor yang turut menyertainya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Versus 1001 Rasa Baba’s di Hotel Empire Subang, Subang Jaya, semalam.
Program yang bersiaran selama 30 minit itu menampilkan dua hos iaitu Chef Adu Amran dan Chef Dr. Kamarul.

Juri-juri pula terdiri daripada selebriti, editor majalah dan para blogger.
Dua peserta akan bersaing pada setiap episod dengan dibantu mentor yang terdiri daripada chef-chef profesional antaranya, Chef Zubir dan Chef Joe.
Versus 1001 Rasa Baba’s akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 26 Oktober ini, jam 5.35 petang di TV3. – KopiPlanet.com