
Shahir Teruskan Niat Lamar Erra Tahun Hadapan
Biarpun namanya terpalit kontroversi menjelang konsert akhir Akademi Fantasia Megastar, Shahir masih mampu memberikan persembahan terbaik ketika beraksi di konsert finale semalam.
Sebaik sahaja konsert yang menobatkan Idayu sebagai juara AF Megastar tamat, Shahir terus dikerumuni pihak media bagi mendapatkan penjelasannya berhubung kontroversi membabitkan dirinya dengan seorang pramugari yang dikenali sebagai Mona Syamimi.
Menurut Shahir, dia menganggap gosip itu sebagai salah satu cabaran dan asam garam dalam menjalani kehidupan sebagai anak seni.
Malah, dia percaya teman wanitanya, Erra Fazira memahami keadaannya yang terpalit dengan gosip berkenaan.
Shahir juga berkata dia akan tetap meneruskan niatnya untuk melamar Erra tahun hadapan seperti mana kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini.
“Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan gosip begini, jadi saya tidak terkesan apabila timbul perkara ini.
“Saya masih Shahir yang sama, tetap berhasrat untuk melamar Erra.
“InsyaAllah apa yang kita rancangkan pada tahun hadapan (perkahwinan) akan dilaksanakan.
“Alhamdulillah, sebagai artis, dia (Erra) juga faham apabila timbul perkara begini, ini asam garam bergelar seorang selebriti,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media AF Megastar semalam.
Sering kali dikaitkan dengan ‘kehilangan’ selepas berjaya menempatkan diri dalam bidang seni, kali ini Shahir berkata dia akan terus melangkah untuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
“Saya tidak akan ‘hilang’ dan akan teruskan karier sebagai penyanyi selepas ini bagi membalas semua jasa peminat dan orang yang percayakan saya,” katanya yang mendendangkan lagu Tapi Bukan Aku nyanyian asal Kerispatih dan lagu baharu, Mama Jangan Pergi ciptaannya bersama Awi Rafael pada konsert finale AF Megastar yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam.

Nama Shahir terpalit kontroversi minggu lalu apabila Mona tampil membuat dakwaan bahawa dia mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi itu walaupun Shahir sebelum ini mengakui Erra adalah wanita istimewa di hatinya.
Mona mendakwa hubungannya dengan Shahir lebih mesra daripada sekadar hubungan di antara artis dan peminat. Malah Mona juga pernah mendedahkan kandungan mesej romantik yang dikirimkan Shahir kepadanya seperti yang dilaporkan media baru-baru ini. – KopiPlanet.com