
Lebih Sebulan Bersalin Pramatang, Dayana Roza Akhirnya Tunjuk Wajah Cahaya Mata Sulung
Setelah lebih sebulan melahirkan seorang bayi secara pramatang, akhirnya pelakon Dayana Roza memaparkan wajah cahaya mata pertamanya yang diberi nama Astrid Raheeya.
Dayana atau nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, dia selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 20 Julai lalu yang juga jatuh pada sambutan Aidiladha.
“Alhamdulillah, ketika ini keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya baik-bauk sahaja. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram jam 11 malam di sebuah hospital swasta di ibu kota. Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Cuma ikutkan perihal lahir tak cukup bulan ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup keluarga saya.
“Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Malah adik saya pun mengalami situasi sama seperti saya dan anak. Jadi saya rasa tak pelik. Cuma syukur tak ada komplikasi apa apa dekat anak saya,” katanya yang menyatakan sepatutnya bersalin pada bulan hadapan.
Dayana berkata, apa yang lebih melucukan adalah pada sebelah siang sebelum melahirkan anaknya, dia mengakui begitu rancak menikmati hidangan raya.
“Saya bedal macam-macam termasuk lemang, rendang dan pelbagai juadah lain. Kemudian pada sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital saya mengalami pendarahan, tetapi tidaklah teruk sangat.
“Setelah itu pada sebelah malam saya selamat melahirkan anak. Takut juga sebab saya lahir tak cukup bulan bimbang terjadi apa-apa. Namun begitu, semuanya baik-baik saja. Seminggu juga saya bermalam di hospital,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan nama cahaya matanya itu, Dayana berkata ia adalah keputusan bersama suaminya, A’dale Adham Ayahudin.
“Astrid itu kalau dicari maksudnya di internet membawa maksud keindahan dan kekuatan. Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu suami saya.
“Cuma ejaan asal arwah ibu mentua dieja Rahiya. Tapi saya ubah ejaannya jadi Raheeya dan membawa maksud seperti setia serta penyayang,” katanya.
Dayana dan A’dale yang juga merupakan seorang usahawan mendirikan rumah tangga pada 25 Disember lalu. – KopiPlanet.com