FilemTerkini

Olympic Dream Kisah Kecekalan Seorang Gadis Menjadi Seorang Pemain Badminton Sehingga Ke Peringkat Dunia

Boleh dikatakan filem-filem bertemakan sukan agak jarang dihasilkan oleh pembikin filem tempatan berbanding genre yang lain.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat syarikat produksi Full Billion Entertainment untuk mempertaruhkan sebuah filem tentang sukan badminton iaitu Olympic Dream.

Penerbit dan pengarahnya, Don Hoe berkata, badminton adalah salah satu sukan popular dalam kalangan rakyat Malaysia, apatah lagi dia membesar dengan menyaksikan kejayaan-kejayaan atlet-atlet Malaysia antaranya di Kejohanan Piala Thomas dan itu mendorong semangat dan nilai perpaduan dalam diri.

“Sukan ini telah merapatkan hubungan saya bersama rakan dan jiran tetangga yang berbeza latar usia, bangsa, kaya atau miskin untuk sama-sama menyokong pasukan Malaysia. Jadi, saya mengambil elemen sukan tersebut dan ketengahkan menerusi filem.

“Saya harap filem ini mampu menyuntik rasa bangga dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia dengan pencapaian dan kegemilangan yang telah dicipta oleh barisan atlet negara. Saya juga mengharapkan ia dapat memberi inspirasi kepada semua, tidak kira rakyat Malaysia atau masyarakat dari negara luar untuk sentiasa berusaha dalam mencapai impian sehingga memperoleh kemenangan,” ujarnya.

Jelas Don Hoe, apa yang lebih mengujakan, filem berkenaan turut menyaksikan penampilan legenda badminton negara seperti Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit serta bekas pemain kebangsaan, Janice Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun.

Jelasnya, dia juga mempertaruhkan gandingan generasi baru dan lama sebagai teraju utama, seperti pelakon Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate di England, Maya Karin; Pelakon Terbaik di Anugerah Golden Awards 2017, Jordan Voon; pelakon filem Hong Kong – Malaysia, adik Annabelle Tan; dan bekas pemain kebangsaan dan kini jurulatih badminton Adelle Ng.

Olympic Dream mengisahkan tentang kecekalan seorang anak muda, Wong Anna yang menanam impian sejak kecil dan bercita-cita untuk menjadi pemain badminton kebangsaan. Walaupun Anna mengalami masalah kesihatan, ia tidak mematahkan impiannya.

Ketika di sekolah, Anna ternampak kehebatan Pak Cik Quan yang juga merupakan bekas pemain badminton dalam mengendalikan bola tangkis. Sejak itu, Anna sentiasa berlatih dengan Pak Cik Quan sehingga berjaya memenangi pertandingan badminton. Bakat Anna telah dilihat oleh jurulatih Cheah dan itu membuka laluan Anna untuk menjadi pemain kebangsaan.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, rentetan daripada sambutan Hari Malaysia minggu lalu, pihaknya membawakan sebuah filem yang penuh dengan nilai dan semangat cintakan tanah air.

“Filem ini bukan sahaja memaparkan elemen sukan semata-mata, tetapi memupuk semangat patriotik dan menghargai ‘perjuangan’ individu dalam menjulang nama negara di mata dunia. Selain itu, kehadiran filem ini juga adalah bagi meraikan atlet-atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia selama ini.

“Kami berharap usaha mempersembahkan filem ini kepada masyarakat mampu memacu pembangunan sukan di Malaysia, khususnya badminton yang merupakan salah satu sukan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” ujarnya.

Filem tersebut bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 23 September ini. Menarik, Olympic Dream bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan badminton tetapi dipadatkan lagi dengan konflik dan babak dramatik yang mengajak penonton untuk menghayati perjuangan seseorang dalam usaha mencapai impian, di samping babak-babak mendebarkan ibarat menonton perlawanan sebenar. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
5
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button