
Berjaya Sembunyi Hamil, Anna-Enrique Dapat Anak Kembar
Pasangan kekasih, Enrique Iglesias dan Anna Kournikova berjaya menyembunyikan kehamilan wanita itu sehingga baru-baru ini mengumumkan kepada peminat yang mereka baru sahaja menyambut kelahiran bayi kembar sepasang, Nicholas dan Lucy di Miami, Ahad lalu.
Pihak media dan paparazi di sana langsung tidak menyedari kehamilan Anna, 36, memandangkan pasangan itu cukup dikenali mengamalkan kehidupan privasi daripada tumpuan orang luar.
Menurut sumber, bintang tenis Rusia cukup menjaga rahsia mengenai kehamilannya dan disebabkan itu, dia jarang membuat kemunculan di majlis-majlis keraian sepanjang tempohnya berbadan dua.
Sepanjang tempoh itu, Anna dan Enrique dikatakan hanya menghabiskan masa dengan ahli keluarga dan rakan rapat dan kesemuanya mengunci mulut dan tidak mendedahkan mengenai perkara itu kepada umum.
Walaupun sudah mempunyai anak hasil hubungan dengan penyanyi latin itu, Anna tetap dengan pendiriannya enggan mendirikan rumah tangga.
“Perkahwinan bukan satu perkara yang penting bagi saya. Apa yang penting, saya bahagia dengan perhubungan kami,” katanya yang sudah 16 tahun berpacaran dengan penyanyi berusia 42 tahun itu. – KopiPlanet.com