
Sharnaaz Ahmad Dilepas & Dibebaskan Daripada Pertuduhan Cederakan Pengawal Keselamatan
Setelah hampir setahun turun naik mahkamah, pelakon popular Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa lega apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada tahun lalu.
Menerusi satu perkongsian video di akaun Instagram miliknya, Sharnaaz bersyukur selain berjanji tidak akan mencetuskan sebarang masalah pada masa akan datang.
“Assalamualaikum saya di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti kes saya dengan rapat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dua orang kuat iaitu peguam saya yang menyokong saya sejak tahun lepas. Alhamdulillah hari Jumaat, kes saya sudah selesai. Insya-Allah saya tidak buat hal lagi,” katanya.
Mengikut pertuduhan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Berikutan itu pendakwaan terhadap pelakon ‘Suamiku Encik Sotong’ itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hakim Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.
“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah berpuas hati dan dengan ini memerintahkan supaya pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan (DNA) manakala wang jaminan dikembalikan,” ujar beliau. – KopiPlanet.com