AdvetorialKongsi

Kota Bharu Ke Peringkat Antarabangsa… Tercalon Untuk ‘World Craft City’ Anjuran World Crafts Council

Malaysian Craft Council (MCC) telah menganjurkan Majlis Menandatangani Plak Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” di bawah World Crafts Council (WCC), bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Presiden MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, majlis ini merupakan langkah rasmi bagi mengemukakan pencalonan Kota Bharu ke peringkat antarabangsa, dan bukannya pengiktirafan muktamad lagi. 

“Walaupun pengiktirafan rasmi masih dalam proses penilaian WCC, pencalonan ini sendiri sudah membuktikan kekayaan warisan seni kraf negeri Kelantan serta sokongan padu komuniti kraf di sini.

“Pencalonan ini juga menandakan langkah signifikan MCC dalam usaha melestarikan warisan seni kraf, selain membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, terutamanya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional,” ujarnya.

Proses penilaian akan dibuat oleh pihak World Crafts Council sebelum sebarang pengesahan status rasmi diberikan.

Majlis gilang gemilang ini turut menerima keberangkatan tiba DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, serta dihadiri YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, dan  Sundeep Kumar, Naib Presiden World Crafts Council (Rantau Asia Pasifik) dari India.

Meraikan Keunikan Kraf Warisan Kelantan

Acara ini diadakan bagi meraikan keunikan seni kraf tradisional negeri Kelantan, khususnya hasil seni tekstil bernilai tinggi seperti Kelingkan dan Songket. 

Dua tokoh tersohor, Puan Nik Marhamah Nik Megat (Adiguru Sulaman Kelingkan) dan Puan Che Rohani Che Mood (Adiguru Tenunan Songket) mempersembahkan demonstrasi eksklusif kepada tetamu bagi menunjukkan proses penghasilan tekstil warisan ini.

Harapan & Langkah Ke Hadapan

Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” dilihat sebagai satu pencapaian penting dan bersejarah, kerana ia membuka peluang untuk seni kraf tempatan diiktiraf di pentas dunia.

“Walaupun pengiktirafan rasmi masih dalam proses penilaian oleh pihak World Crafts Council, pencalonan ini sahaja sudah menjadi bukti kekayaan warisan seni kraf negeri Kelantan dan sokongan padu komuniti kraf di sini,” ujar wakil Malaysian Craft Council.

Sekiranya berjaya, pencalonan ini dijangka akan:

• Mengangkat martabat penggiat seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.

• Memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.

• Memperkukuh usaha menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan beridentitikan warisan dan budaya.

Tentang Malaysian Craft Council (MCC):

Malaysian Craft Council (MCC) adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertindak sebagai agen advokasi untuk memacu pertumbuhan industri kraf negara. MCC mewakili pelbagai kategori kraf termasuk batik, songket, tenun, perak, seramik, dan sulaman. 

Selain itu, MCC juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pemain industri dalam pelbagai bidang kesenian termasuk seni persembahan dalam memposisikan seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa melalui projek kolaborasi dan jaringan strategik.

Majlis ini dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri kraf dan pembangunan komuniti, termasuk tetamu kehormat dari sektor kerajaan dan swasta. 

Diharapkan, kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pemeliharaan dan pengembangan seni tekstil Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button