
SELCOFF 2025 Bakal Himpunkan Komuniti Kopi Serantau, Jadi Festival Kopi Terbesar Di Selangor
Menyahut saranan baik YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor melalui Belanjawan Negeri Selangor 2025 bagi memartabatkan industri kopi tempatan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor bakal menganjurkan Festival Kopi Selangor (SELCOFF) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, penganjuran SELCOFF 2025 diadakan bertujuan memperkasa industri kopi tempatan melalui platform yang menghimpunkan lebih 30 pemain industri kopi tempatan dan antarabangsa termasuk dari Vietnam, Indonesia, Singapura dan beberapa negara serantau lain.
“Acara ini bukan sekadar perayaan budaya kopi, tetapi juga menjadi ruang penting untuk peniaga, pengusaha kafe, pembekal biji kopi, barista serta komuniti kopi meneliti perkembangan terkini dalam teknologi, inovasi dan trend global industri ini.
“SELCOFF 2025 akan menjadi pentas utama bagi memperkenalkan jenama kopi tempatan kepada pasaran serantau dan global, di samping mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kopi dan destinasi pelancongan gaya hidup utama di Malaysia dan Asia Tenggara,” ujarnya.
Beliau berkata, festival berkenaan bakal menjadi festival kopi terbesar di negeri ini yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 bertempat di The Curve Damansara Petaling Jaya.
Menariknya, acara ini turut mengetengahkan pemain-pemain kopi dari kesemua sembilan daerah di negeri Selangor, menjadikan festival ini sebagai himpunan terbesar penggiat industri kopi di rantau ini.
Antara acara menarik sepanjang festival termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel dan forum industri, serta aktiviti interaktif untuk pengunjung.
“Acara kemuncak, ASEAN Barista Championships juga akan diadakan, yang akan mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara dalam saingan serantau yang memberi peluang kepada barista tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar kopi antarabangsa,” jelasnya.

Selain daripada aktiviti berkaitan kopi, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti gaya hidup dan hiburan sepanjang festival berlangsung.
Antara tarikan utama termasuk konsert istimewa menampilkan barisan artis popular seperti Aizat Amdan, Bunga Isme, 6ixth Sense dan Tam Spider, yang bakal menghidupkan suasana malam dengan persembahan muzik menarik.
Festival ini turut menyediakan gelanggang pickleball percuma untuk orang awam, sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pengunjung.
Penganjuran SELCOFF 2025 turut diselaraskan dengan aspirasi Tahun Melawat Selangor 2025 di bawah tema Selangor Kan Ada, yang memberi penekanan terhadap pelancongan gaya hidup, gastronomi serta acara bertaraf antarabangsa.
Festival ini menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung, merangkumi komuniti pencinta kopi, penggiat industri F&B, barista profesional, usahawan muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa. – KopiPlanet.com