
Setelah muncul dalam program realiti Talk To My Manager (TTMM) sehingga melangkah ke pentas final, Hadie Suhaimi yang juga anak kepada Ina Naim bakal bergelar pelakon.
Hadie berkata, dia telah dilamar oleh penerbit popular, Jaja Ishak yang juga pemilik produksi Jaja Ishak Channel (JIC) untuk membintangi sebuah filem pendek.
“Saya akui selain menyanyi, saya juga menggemari bidang lakonan. Kadang-kadang saya akan berlatih berlakon dengan ibu di rumah.
“Jadi, saya bersyukur sebaik tamat TTMM, saya ada menerima beberapa tawaran yang cukup menarik. Antaranya daripada JIC yang menawarkan saya berlakon filem pendek,” ujarnya.
Hadie berkata, untuk filem pendek yang berjudul Antara Dua Darjat itu, dia akan berlakon di samping Qadejah El Zahra atau Cess yang merupakan anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri.
Dalam pada itu, Hadie menyatakan setiap keputusan untuk menerima sebarang tawaran, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan ibunya yang juga merangkap pengurusnya.
“Tidak dinafikan kekuatan saya lebih kepada bidang nyanyian, namun setelah dipertimbangkan dan perbincangan bersama ibu, tak salah untuk saya mencuba berlakon.
“Apatah lagi dengan peluang yang ada ini, saya rasa rugi untuk dilepaskan. Jadi, tidak salah untuk saya cuba sesuatu bidang yang baharu pula,” ujarnya.
Sementara itu, Ina selaku ibu dan pengurus Hadie memaklumkan tawaran daripda JIC utu agak sukar untuk ditolak. memandangkan Jaja juga adalah rakan arwah suaminya, Suhaimi Saad ketika di bangku sekolah.
Jelas Ina, kerjasama yang terjalin antara anaknya dengan JIC sebenarnya memberi erti yang lebih mendalam untuk mengembangkan karier seni anaknya.

“Kalau diikutkan saya memang dah lama kenal dengan Jaja kerana dia kawan arwah Suhaimi ketika bersekolah dan mereka memang agak rapat.
“Apabila dia menawarkan kepada Hadie untuk berlakon, saya tak berasa terlalu bimbang kerana dia tahu batas kami bekerja. Misalnya, tidak boleh ada adegan bersentuhan atau babak yang mengundang fitnah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jaja memberitahu antara faktor utama pemilihan Hadie sebagai watak utama dalam filem pendek berkenaan setelah melihat maklum balas terhadap dirinya di media sosial.
“Rata-ratanya saya melihat ramai yang suka dengan personaliti Hadie ketika menyertai TTMM. Maka, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk bekerjasama dengan Hadie dan ibunya.
“Antara Dua Darjat mengisahkan percintaan antara pasangan yang berasal dari latar belakang berbeza sehingga hubungan mereka mendapat tentangan keluarga,” ujarnya.
Bertemakan sebuah kisah ringan yang menyentuh hati, filem berkenaan akan ditayangkan di semua platform media sosial JIC pada penghujung November ini. – KopiPlanet.com



