AdvetorialKongsi

Pernah Bantu Keluarga Kutip Buah Sawit Relai & Pelepah Kelapa, Jaja Ishak Bangga JIC Dapat Pengiktirafan MARA

Setelah 10 tahun terbabit dalam bidang produksi, kini syarikat Jaja Ishak Channel (JIC) boleh berbangga apabila menerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024-2025 pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) yang berlangsung baru-baru ini.

Pengasasnya, Jaja Ishak berkata, pengiktirafan yang diterima itu adalah berdasarkan kepada sumbangan syarikatnya yang cukup aktif dalam memberikan sumbangan menerusi Wakaf MARA Madani.

“Anugerah ini merupakan satu kategori baharu yang diperkenalkan MARA sempena acara AURA dan diberikan kepada usahawan yang banyak menyumbang semula kepada masyarakat.

“Sudah tentu saya bersyukur dengan pengiktirafan ini kerana bukan mudah untuk membangunkan syarikat ini dalam tempoh 10 tahun dengan pelbagai cabaran yang perlu dilalui,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Jaja memberitahu syarikatnya banyak memberikan sumbangan kerana begitu terpanggil untuk berkongsi rezeki yang diterimanya, apatah lagi MARA banyak membantu syarikatnya untuk berkembang hingga berjaya seperti sekarang.

Malah, pesanan kedua ibu bapanya juga agar tidak lokek untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan sentiasa menjadi peringatan buat dirinya.

“Saya sendiri pun bukanlan berasal daripada keluarga yang senang, malah ibu dan bapa saya merupakan peneroka kelapa sawit.

“Dulu saya dan ahli keluarga lain pernah lakukan kerja kutip buah sawit relai dan angkat pelepah kelapa sawit di ladang semata-mata nak menampung perbelanjaan saya sambung belajar di universiti,” ujarnya.

Mengenai jumlah sumbangan yang pernah diberikan menerusi Wakaf MARA Madani, Jaja tidak mendedahkannya dan menjelaskan ia semua bergantung kepada keadaan.

“Kalau ada masa syarikat dapat untung banyak, maka banyak sumbangan yang diberikan. Kalau untung sikit, saya tetap akan beri dengan jumlah sedikit.

“Lagipun ibu dan ayah saya selalu pesan, tak semestinya bila kita dapat duit banyak, kita kena beri banyak. Kalau ada sikit, beri sikit. Apa yang penting sentiasa memberi dan istiqamah,” katanya. 

JIC antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dinobatkan sebagai penerima AURA di peringkat negeri.

Menerusi Aura, sebanyak 12 kategori dipertandingkan, antaranya Anugerah tokoh usahawan MARA, Anugerah Khas Usahawan Wakaf Mara, Anugerah Jenama Terbaik, Anugerah Usahawan Aspirasi Wanita dan Anugerah Program Khas Usahawan.

Acara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button