
Penerbit popular, Jaja Ishak tidak menyangka drama terbitan syarikatnya, Jaja Ishak Channel (JIC) iaitu Panggil Aku Dahlia mendapat rating tertinggi di RTM.
Jaja berkata, apa yang lebih membanggakan, drama berkenaan tidak membariskan nama-nama pelakon popular, tetapi memilih barisan pelakon baharu.
“Saya sangat bersyukur dan tidak menyangka apabila naskhah terbitan JIC itu berjaya mencatat rating nombor satu di RTMKlik. Ternyata dengan mengetengahkan pelakon baharu sebagai teraju utama, drama ini tetap mendapat sambutan hangat penonton.
“Pada masa sama, saya cukup terharu dengan segala maklum balas positif yang diberikan penonton dan ia memberi semangat kepada kami untuk terus mengetengahkan bakat-bakat baharu yang tidak kurang juga hebatnya,” ujarnya.

Diarahkan Isma Yusoof & Shuhaimi Zulkefli, Panggil Aku Dahlia menampilkan pelakon baharu Razzuan Rosli dan Riena Amirah untuk warak utama.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang percubaan berani dengan tidak memilih pelakon popular, Jaja menganggap ia sebagai satu cabaran tersendiri buat dirinya selaku penerbit.
“Sama ada seseorang itu pelakon baharu sekali pun, yang penting dia dapat memberikan mutu lakonan yang baik dan berkualiti yang kemudiannya disokong pula dengan jalan cerita yang menarik.

“Namun, untuk drama ini tidaklah sepenuhnya semua pelakon baharu. Ada juga pelakon yang lebih berpengalaman seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Azah Aziz, Ruzaidi Abdul Rahman, Raja Azmi, Zila Bakarin dan Lisdawati,” jelasnya.
Panggil Aku Dahlia mengisahkan Puteri Dahlia, anak tunggal kepada pengusaha Ladang Teh, Megat Qais dan Puan Lorrinda.
Kisah tragis dan memalukan mengenai kematian ibunya membuatkan dia menjadi seorang perempuan yang tanpa emosi, tidak mudah mempamerkan perasaan, dan seorang yang pemendam.
Kerjaya yang diminatinya, arkeologis terpaksa ditinggalkan kerana ayahnya memanggilnya pulang ke Tanah Rata. – KopiPlanet.com



