PTTI Tiga Kali Dapat Pengiktirafan MBOR, Yang Terbaharu Cipta Rekod 534 Pelajar Raih Straight A SPM 2025
PTTI Group Sdn. Bhd. sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melahirkan 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’ pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan PTTI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan digital di Malaysia.
Lebih membanggakan, pencapaian ini turut melayakkan PTTI menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga, selepas kejayaan terdahulu pada 2022 dan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, secara keseluruhan sebanyak 31,987 gred A berjaya direkodkan oleh pelajar di bawah bimbingan PTTI bagi SPM 2025.
Selain itu, seramai 158,423 pelajar mendapat manfaat melalui program seminar SPM yang dianjurkan sepanjang tahun tersebut.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan PTTI dalam memastikan pencapaian sebenar pelajar.
“Kami sentiasa memberi fokus kepada hasil dan kemenjadian pelajar, bukan sekadar menamatkan silibus pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang yang juga penyanyi, Alyssa Dezek berkongsi bahawa pendekatan pembelajaran yang mudah difahami menjadi faktor utama kejayaannya.
“Saya mula menyertai PTTI sejak tingkatan tiga. Teknik pengajaran yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami, membolehkan saya menguasai pelajaran dalam masa singkat. Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Chief Growth Officer PTTI, Race Monsopiad atau Sir Race memaklumkan bahawa lebih 150,000 pelajar mendapat manfaat daripada seminar yang dianjurkan.
“Sepanjang 2025, seramai 158,423 pelajar sudah dibantu. Bersempena pencapaian ini, PTTI akan menganjurkan Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula 4 hingga 10 Mei 2026. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi kami,” jelasnya.

Pengarah PTTI, Asyraf Khalid, berkata pencapaian ini adalah bukti bahawa model pendidikan digital Malaysia sudah sedia bersaing di peringkat tertinggi.
“Kami tidak bina nama PTTI di atas nama guru. Kami bina nama PTTI di atas nama pelajar kami. 534 Straight A bukan kebetulan ini adalah hasil sistem yang betul, guru yang sabar, dan pelajar yang tidak menyerah. Kami bangga, tapi kami tidak berhenti di sini. Impian seterusnya adalah 1,000 Straight A,” katanya.
Antara pelajar yang dirai ialah Armaan Aqil Bin Mohammed Ackmal, yang memperoleh 11A dalam SPM 2025 selepas bermula dengan gred G dalam subjek Kimia pada peperiksaan pertengahan tahun.
Terdahulu, lebih 4,000 pelajar bersama ibu bapa membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Majlis Anugerah Inspirasi 2026 anjuran PTTI Group Sdn. Bhd.
Majlis berprestij ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi sesi pagi, manakala sesi petang disempurnakan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Kedua-dua tokoh turut menyampaikan ucapan inspirasi kepada para pelajar dan ibu bapa yang hadir.
Acara turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air seperti Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Datuk Awie, Datuk M. Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Hael Husaini, Bella Astillah dan Zaki Yamani. – KopiPlanet.com



