Cerita ArtisHiburan

Nabila Huda Lakar Kejayaan Peribadi, Raih Trofi Sulung Di Acara ‘Anugerah Seni Cameronian BOH Ke-21’

Pelakon popular, Nabila Huda apabila beliau melakar kejayaan peribadi dengan meraih trofi sulung pada acara anugerah teater bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik. 

Nabila meraih kejayaan itu pada acara Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) menerusi watak Malam yang dibawa dalam teater Masmoona.

“Sejujurnya saya memang tidak sangka. Saya masih baru dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka. Setiap kali bersama, saya kagum dengan bakat mereka.

“Saya selalu rasa diri ini kecil kerana kemampuan mereka menyanyi dan menari jauh lebih hebat. Bila lihat senarai pencalonan tadi, saya rasa persembahan saya sangat jauh ketinggalan,” luah Nabila Huda.

Selain Masmoona, Nabila juga membintangi teater Visits terbitan Dramalab arahan Ida Nerina dengan menampilkan pelakon hebat lain seperti Sofia Jane dan Nadia Aqilah yang turut tercalon dalam beberapa kategori 21BCAA.

Dalam pada itu, turut mencipta kejutan apabila mengumumkan dua naskhah teater, Fragments of Tuah yang dipersembahkan Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company memenangi kategori utama iaitu Persembahan Terbaik 2025.

Momen bersejarah itu menyaksikan dua karya berkenaan mengungguli calon finalis lain seperti A Salute to Cinema oleh Tutan Entertainment; Animal Farm (Pentas Project & W Productions); TEWAS: No Light at the End of the Tunnel (JDEV Studios) dan Visits (Dramala).

Penyampaian hadiah untuk pemenang kategori utama disempurnakan oleh Presiden Kakiseni, Low Ngai Yu dan Pengerusi Eksekutif BOH Plantation, Caroline Russell, sekali gus melabuhkam tirai 21BCAA yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Mengenai pementasan Fragments of Tuah, ia adalah persemabahan berkonsep dokumentari diiringi muzik asli yang ‘membedah’ dan membayangkan semula figura Hang Tuah sebagai pahlawan abad ke-15.

Sementara itu, pementasan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance menonjolkan semangat tari Melayu dan memartabat kembali kedudukannya sebagai antara seni terbaik di dunia.

Bagi kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi Ileana Matin yang melakonkan watak Finn Dewey menerusi teater School of Rock, The Musical sementara kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater) pula menyaksikan kemenangan menjadi milik pelakon dari Scotland, Kingsley Judd yang melakonkan watak Edward dalam teater Someone Who’ll Watch Over Me.

21BCAA turut menyampaikan Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan beliau kepada Zapin dan dunia seni persembahan Malaysia.

Sebanyak 40 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini dengan 81 penyertaan merangkumi teater, tarian, muzik dan teater muzikal. 

Setiap penyertaan dinilai oleh panel juri terkemuka merentasi disiplin persembahan, kreatif dan teknikal, sekali gus mengiktiraf karya yang merangkumi inovasi, integriti dan pendekatan baharu.

Sebanyak 44 produksi dicalonkan dengan 10 dalam kategori tarian, lapan teater muzikal, sembilan muzik dan 17 dalam teater.

Anugerah Seni Cameronian BOH atau Cammies, kembali sebagai platform berorientasikan masa depan yang melangkaui sekadar meraikan hasil kepada membentuk keadaan untuk masa depan karya kreatif di Malaysia.

Tema tahun ini, ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’ mengiktiraf kecemerlangan sambil mewujudkan rangka kerja, prinsip dan etika yang membimbing bagaimana seni dicipta, dikongsi dan dihargai dalam era perubahan teknologi serta sosial yang pesat.

Anugerah ini dibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni, disokong oleh Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) termasuk rakan kongsi seperti Taylor’s University, A Cut Above, BDO di Malaysia, Capri Communications, CloudJoi serta Steven Sunn. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button