HiburanSelebriti

Ada Kesilapan Ayat Al-Quran, Aisyah Hijanah Hentikan Jualan Buku ‘Wanita Syurga’

Influencer popular, Aisyah Hijanah menarik semula jualan buku ‘Wanita Syurga’ dari pasaran setelah dikesan terdapat beberapa kesilapan ayat Al-Quran.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, dia turut memohon maaf atas kesilapan yang berlaku sehingga menimbulkan kegusaran ramai.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca, para asatizah, dan seluruh masyarakat atas kesilapan penulisan ayat al-Quran yang terdapat di dalam buku terbitan saya sehingga menimbulkan kegusaran ramai.

“Saya mengakui bahawa kesilapan ini adalah tanggungjawab saya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, dia memaklumkan telah menghentikan sementara penjualan semua buku di bawah penerbitannya dan menarik semula Wanita Syurga daripada semua kedai buku serta platform jualan dalam dan luar talian.

Ujarnya, kandungan buku berkenaan akan disemak semula secara menyeluruh, manakala versi yang telah diperbetulkan juga akan disediakan dalam bentuk digital kepada pembaca yang mahu mendapatkan naskhah yang telah dikemas kini.

Dalam pada itu, Aisyah juga menyatakan bahawa dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menerima segala teguran yang diberikan.

“Walaupun buku ini merupakan hasil penulisan bersama seorang penulis (ghostwriter), saya sepatutnya memastikan setiap kandungan, khususnya yang melibatkan ayat- ayat al-Quran, disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan.

“Saya menerima sepenuhnya teguran ini dan tidak akan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button