Syed Saddiq & Bella Astillah Kahwin Pada 10 Oktober, Lokasi Nikah Di Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi serta pelakon, Bella Astillah mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober depan.
Lebih istimewa, pengumuman eksklusif mengenai tarikh bahagia itu disiarkan secara langsung dalam program MeleTOP di Astro Ria yang berlangsung malam tadi.
“Saya terhutang budi kepada mereka yang tak putus-putus berdoa. Nikah 10 Oktober, sanding juga pada bulan sama.
Akan juga diadakan di Kuala Lumpur, Muar, dan Sabah,” kata Syed Saddiq pada program tersebut.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah kedua-dua ibu bapa Syed Saddiq iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff, dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Beliau berkata, majlis pernikahan dijadual berlangsung di bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Menara Merdeka Maybank.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai persiapan perkahwinan, mereka mengakui mempunyai tempoh kira-kira 100 hari sahaja.
Syed Saddiq berkata, persiapan itu hanya dapat dimulakan selepas beliau menyelesaikan kes di Mahkamah Persekutuan pada Julai lalu, menyebabkan mereka perlu bergerak pantas bagi memastikan segala urusan berkaitan majlis berjalan lancar.
“Saya tak sangka Bella boleh buat segala-galanya. Kita sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi dalam kesibukan itu, Bella boleh mikro urus (micromanage) proses penyediaan perkahwinan.
“Bella bekerjasama dengan banyak pihak, bukan setakat untuk satu majlis tetapi beberapa majlis di beberapa lokasi. Jadi semua itu datang serentak, tetapi dia sangat sabar.
“Saya juga perlu mengambil salah dalam bab ini kerana kita hanya boleh bermula proses merancang perkahwinan selepas tamat cabaran saya di Mahkamah Persekutuan pada Julai,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Syed Saddiq menegaskan perkahwinannya dengan Bella bukan sekadar penyatuan antara mereka berdua, sebaliknya turut melibatkan keluarga, termasuk anak-anak Bella.
Syed Saddiq, 33, dan Bella, 31, mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, sekali gus mengesahkan hubungan mereka yang sebelum ini mendapat perhatian ramai.
Hubungan cinta Syed Saddiq dan Bella, atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mula mendapat perhatian umum selepas mereka menjalin kerjasama dalam beberapa projek termasuk kempen promosi jenama serta inisiatif amal untuk membantu rakyat Muar. – KopiPlanet.com



