Festival muzik, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal menggabungkan 19 penyanyi terkenal dari Indonesia dan Malaysia berkongsi pentas menggegarkan KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Barisan artis Indonesia yang ditampilkan pada festival anjuran Neptunes Presents termasuklah diva tersohor Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes & The Moonlight Knights.
Manakala, artis tempatan yang juga tuan rumah yang turut memeriahkan festival ini ialah Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Jurucakap penganjur dari Neptunes Presents, aktres Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya bangga dapat bersama meraikan acara festival muzik yang menampilkan barisan penyanyi terbaik dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia itu.
“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival ini.
“Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat kedua negara.
“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti.
“Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan barisan penyanyi masih dirahsiakan sehingga hari persembahan,” kata anak kepada rockers terkenal, Datuk Amy Search itu.

Nabila berkata demikian pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang berlangsung di The Volume, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.
Mengulas soal pemilihan lokasi pula, Nabila berkata, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal diadakan di KL Festival Park, Kuala Lumpur.
“Hasil perbincangan, pihak kami memilih KL Festival Park kerana ia lokasi yang strategik untuk penganjuran festival besar ini.
“Pada masa sama, lokasi ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana mampu memuatkan kapasiti lebih 20,000 penonton dalam satu masa.
“Jualan tiket dengan harga mampu milik untuk semua bagi menyaksikan festival ini sudah mula dijual sejak 4 September lalu dan boleh didapati menerusi laman web www.bbo.events.com,” katanya.
Sebelum ini, Neptunes Presents pernah bekerjasama dengan rakan kongsi lain menganjurkan Festival Muzik Nyalafest yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November 2024.
Seramai lapan artis terkenal dari dua negara terbabit dalam festival itu terdiri dari artis terkenal Indonesia, Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya, manakala, artis tuan rumah pula dibarisi Noh Salleh X Restoe Iboe dan Fugo. – KopiPlanet.com



