Di sebalik lambakan filem-filem yang bergenre aksi dan seram, ternyayta Bisikan Nafsu tampil dengan pendekatan yang lebih berbeza apabila menggabungkan elemen seram psikologi, trauma keluarga dan realiti sosial yang jarang diperkatakan secara terbuka.
Apa yang menjadikan filem ini menarik bukanlah semata-mata kerana tajuknya, tetapi keberaniannya menyentuh tema yang wujud dengan mengangkan isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.
Filem ini membawa penonton menyelami penderitaan Nadia, seorang wanita yang terpaksa berdepan tragedi hitam dalam keluarganya sendiri.
Apa yang lebih tidak disangka, tragedi berkenaan berpunca daripada seorang lelaki bertopengkan agama yang dihormati masyarakat dengan gelaran ustaz yang dimiliknya.
Perjalanan emosinya menjadi nadi utama penceritaan, menjadikan setiap babak terasa lebih dekat dan menyakitkan menerusi jalan ceritanya.
Kekuatan terbesar Bisikan Nafsu terletak pada mesej yang cuba disampaikan. Ia bukan sekadar sebuah filem untuk hiburan semata-mata, tetapi sebuah peringatan tentang pentingnya perlindungan terhadap anak-anak, kepekaan ibu bapa dalam memilih pasangan hidup, serta kesan trauma yang boleh menghantui mangsa sepanjang hayat.

Dalam aspek ini, filem tersebut berjaya meninggalkan impak yang lebih mendalam berbanding kebanyakan filem-filem bergenre drama yang lain.
Dari sudut lakonan, watak Nadia membawa beban emosi yang berat. Penonton dapat merasai kekeliruan, ketakutan dan perjuangan dirinya untuk meneruskan kehidupan selepas tragedi yang dialami.
Pada masa sama, watak tunangnya memberi dimensi berbeza kepada cerita apabila menunjukkan bahawa kasih sayang tidak semestinya runtuh apabila seseorang berdepan masa lalu yang menyakitkan.
Namun, Bisikan Nafsu bukanlah sebuah filem yang mudah ditonton. Ada beberapa babak yang mungkin membuat penonton berasa tidak selesa kerana isu yang diketengahkan begitu dekat dengan realiti.
Tetapi di situlah kekuatan filem ini, ia berani membuat penonton berfikir dan berbincang tentang perkara yang sering disembunyikan.
Secara keseluruhannya, Bisikan Nafsu adalah sebuah naskhah yang sememangnya wajar untuk ditonton. Di sebalik ada kontroversi yang mungkin menjadi pertikaian, namun mesej yang cuba disampaikan adalah kekuatan sebenar untuk filem ini. – KopiPlanet.com




