Lebih dikenali menerusi lagu berentak dangdut dan koplo, penyanyi muda Indonesia, Farel Prayoga, kini berani mencabar kemampuan diri apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Gadis Melayu.
Pada usia 16 tahun, Farel menganggap lagu berkenaan sebagai pengalaman baharu dalam perjalanan seninya, sekali gus membuka ruang untuk meneroka genre muzik yang berbeza daripada kebiasaannya.
Menurut Farel, Gadis Melayu merupakan single ketiganya yang dihasilkan menerusi kerjasama dengan Indigital Music, selain menjadi percubaan untuk keluar daripada zon selesa sebagai penyanyi yang sinonim dengan muzik dangdut dan koplo.
“Lagu Gadis Melayu ialah single terbaharu saya yang dimuat naik di saluran Indigital Music. Ini lagu ketiga saya bekerjasama dengan label berkenaan.
“Sebenarnya, saya bukan orang Melayu. Jadi, menerusi lagu ini, saya mahu mencuba pengalaman baharu supaya tidak berada dalam genre yang sama sahaja.
“Berdasarkan pemahaman saya, lagu ini berkisarkan seorang lelaki yang memuji gadis Melayu,” katanya kepada URTV ketika ditemui di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Gadis Melayu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Alif Wahab dan sudah dilancarkan sejak Julai lalu.
Mengulas penerimaan pendengar di Indonesia, Farel bersyukur kerana percubaannya membawakan lagu berkonsepkan Melayu itu mendapat sambutan positif tanpa sebarang masalah besar.
Bagaimanapun, Farel tidak menafikan ada peminat yang mungkin terkejut melihat perubahan muziknya.
“Kalau orang terkejut, itu perkara biasa kerana sebelum ini saya lebih banyak menyanyikan lagu dangdut dan koplo. Tiba-tiba saya membawakan lagu Melayu.
“Namun, alhamdulillah, setakat ini penerimaannya positif. Saya belum menerima maklum balas negatif yang ketara dan bersyukur kerana peminat boleh menerima percubaan baharu ini,” ujarnya.
Menurut Farel, proses menghasilkan Gadis Melayu mengambil masa yang agak panjang, iaitu hampir setahun, berikutan beberapa kekangan sepanjang proses penerbitan, termasuk urusan yang membabitkan Indonesia dan Malaysia.
Malah, dia mengakui perlu menyesuaikan diri dengan lenggok vokal lagu Melayu yang berbeza daripada genre yang biasa dibawakannya.
“Memang agak mencabar dan sedikit sukar kerana lenggok vokal lagu Melayu berbeza. Sebelum ini, saya juga tidak pernah menyanyikan lagu Melayu seperti ini.
“Namun, saya cuba menjalaninya sebaik mungkin. Alhamdulillah, akhirnya diberikan rezeki untuk melancarkan lagu ini menerusi indigital Music,” ulasnya.
Biarpun lebih sinonim dengan dangdut, Farel menegaskan dirinya tidak mengehadkan minat terhadap mana-mana genre muzik.
Sebaliknya, dia melihat kerjasama dengan label Malaysia itu sebagai peluang untuk mengembangkan bakat, selain memenuhi keperluan genre yang ingin diketengahkan menerusi projek berkenaan.
“Pada dasarnya, saya suka semua lagu. Cuma, memandangkan kerjasama ini dengan label Malaysia, saya perlu membawakan lagu Melayu mengikut genre yang mereka ketengahkan.
“Pada masa sama, saya memang mahu keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, karya-karya yang dihasilkan setakat ini juga masih mendapat ruang di stesen radio di Indonesia dan Malaysia, sekali gus memberikan semangat untuk terus konsisten dalam bidang muzik.
Farel turut berkongsi bahawa dia baru sahaja menyiapkan sebuah projek lagu berbahasa Jawa dan berhasrat untuk terus menghasilkan karya baharu tanpa terlalu memikirkan hala tuju kerjayanya pada masa hadapan.
“Bagi saya, karya perlu diteruskan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi apa pun keadaannya, saya perlu terus berkarya dan konsisten,” katanya.
Enggan Pendam Tekanan Sendirian
Di sebalik perkembangan kerjaya seninya, Farel mengakui perjalanan sebagai penyanyi pada usia muda bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah, apatah lagi apabila berdepan pelbagai cabaran peribadi.
Mengulas bagaimana dia mengendalikan tekanan, Farel berkata dirinya tidak menghadapi segala-galanya secara bersendirian kerana mendapat sokongan pengurus serta keluarga pengurusnya.
Menurutnya, dia kini lebih terbuka untuk berkongsi masalah dan mendapatkan pandangan daripada individu yang dipercayai bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Saya tidak mengendalikan semuanya sendirian. Ada pihak yang sentiasa menyokong saya, termasuk pengurus dan keluarganya.
“Kalau ada masalah, saya tidak mahu memendamnya sendiri. Saya akan bercerita dan meminta nasihat tentang cara terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya.
Farel tidak menafikan pernah melalui fasa tertekan, malah mengakui ada ketika dirinya berasa sangat tertekan dan kecewa ketika berdepan masalah peribadi.
Bagaimanapun, seiring perjalanan waktu, dia belajar menerima keadaan dan berusaha untuk lebih ikhlas menghadapi setiap ujian yang datang.
“Memang pernah ada masa saya benar-benar berasa tertekan dan kecewa. Namun, alhamdulillah, lama-kelamaan saya mula memahami keadaan dan belajar untuk ikhlas dengan apa yang berlaku,” ulasnya.
Alami Kerugiaan RM90,000
Dalam pada itu, Farel turut menyentuh mengenai masalah keluarga yang didakwa membabitkan penjualan tanah miliknya tanpa pengetahuan penyanyi itu.
Menurut Farel, tanah berkenaan dibeli menggunakan hasil usaha dan pendapatannya sendiri, namun dia mendakwa tanah tersebut dijual oleh pihak keluarga tanpa pengetahuannya.
“Baru-baru ini, saya berdepan sedikit masalah dengan keluarga. Ada tanah milik saya yang dibeli menggunakan hasil usaha sendiri, tetapi dijual oleh pihak keluarga tanpa pengetahuan saya.
“Sekarang, saya lebih memilih untuk melihat bagaimana perkara ini boleh diuruskan dan apa langkah yang perlu diambil selepas ini. Saya cuma mahu mendapatkan semula hak hasil titik peluh sendiri,” katanya.
Farel mendedahkan nilai tanah berkenaan dianggarkan mencecah Rp400 juta (RM90,000).
Mengulas kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, Farel berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dan dia tidak mahu bertindak terburu-buru sebelum meneliti langkah seterusnya.
Jelasnya, usaha menyelesaikan masalah secara kekeluargaan sudah dilakukan sebelum ini, namun keadaan masih belum menemui jalan penyelesaian.
“Buat masa ini, saya sudah tidak berkomunikasi dengan pihak keluarga. Sebelum perkara ini berlaku, kami sudah cuba menyelesaikannya secara kekeluargaan, tetapi akhirnya keadaan masih begini.
“Undang-undang memang ada, tetapi kami masih melihat bagaimana perkembangan selepas ini.
Saya tidak mahu terlalu agresif kerana bagaimanapun, berdepan masalah dengan keluarga sendiri bukan sesuatu yang menyenangkan. Saya mahu mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” luahnya.
Farel mengakui masalah berkenaan sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya terhadap kerjaya, terutama ketika dia sepatutnya memberikan perhatian kepada penghasilan karya baharu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Bagaimanapun, dia berharap kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan baik supaya dirinya dapat kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni.
“Saya akui perkara ini mengganggu kerana sepatutnya saya hanya perlu meneruskan kerjaya dan menghasilkan karya baharu.
“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan cara terbaik supaya saya boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan tenang,” katanya.
Menghadapi pelbagai cabaran pada usia belia bukan sesuatu yang mudah, namun Farel berkata dia sudah terbiasa bekerja keras sejak kecil.
Jika dahulu cabarannya lebih berkaitan usaha mencari rezeki menerusi persembahan jalanan atau busking, kini dia berhadapan masalah berbeza yang memerlukan kematangan dalam membuat keputusan.
“Sejak kecil, saya sudah biasa bekerja keras. Dahulu saya mencari rezeki menerusi busking, tetapi sekarang cabarannya berbeza walaupun asasnya masih sama.
“Saya sentiasa berdoa kepada Allah dan meminta nasihat daripada pengurus serta keluarganya.
“Buat masa ini, saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa dan melihat bagaimana keadaan akan berkembang,” katanya.
Mahu Cipta Lagu Sendiri
Selain menyanyi, Farel turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan lebih banyak karya ciptaan sendiri.
Malah, dia sudah menyiapkan sebuah lagu baharu yang masih belum dilancarkan, termasuk susunan muziknya, namun mengakui masih kurang yakin untuk memperkenalkannya kepada umum.
Menurutnya, lagu berkenaan berkonsepkan pop dan mengangkat kisah cinta remaja, tetapi bukan berdasarkan pengalaman peribadinya.
“Sebenarnya, saya sudah menyiapkan sebuah lagu baharu. Susunan muziknya pun sudah ada, cuma saya masih malu dan kurang yakin untuk melancarkannya.
“Lagu itu bergenre pop dan berkisarkan cinta remaja. Bukan berdasarkan pengalaman sendiri, sebaliknya sekadar inspirasi,” katanya.
Farel berkata dia mempunyai beberapa lagu yang masih belum diterbitkan, namun setakat ini hanya sebuah lagu yang dihasilkan daripada ciptaannya sendiri.
Dalam masa sama, dia turut berharap situasi semasa di Indonesia, termasuk demonstrasi dan pelbagai perkembangan yang berlaku, tidak terus menjejaskan perjalanan kerjayanya.
Sebagai anak muda yang mahu terus berkarya, Farel berharap keadaan dapat kembali stabil agar dia dapat memberikan tumpuan kepada perkembangan muziknya.
Ingin Nikmati Kehidupan Seperti Remaja Lain
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni dan berdepan masalah peribadi, Farel tetap mahu menikmati kehidupan sebagai remaja seusianya.
Baginya, meluangkan masa bersama rakan-rakan, keluar berjalan-jalan dan mencuba perkara baharu merupakan sebahagian daripada pengalaman yang ingin dinikmatinya ketika muda.
Malah, dia berkongsi keterujaan apabila berjaya membeli sebuah kereta idaman jenama BMW, yang dianggap sebagai antara impian peribadi seorang remaja.
“Sudah tentu saya mahu menikmati kehidupan seperti remaja lain. Saya cuba mencari perkara baharu yang saya suka.
“Alhamdulillah, baru-baru ini saya dapat membeli kereta impian saya. Itu juga salah satu impian ketika muda.
“Selain itu, saya mahu keluar bersama kawan-kawan dan berjalan-jalan seperti remaja lain,” jelasnya.
Bagaimanapun, Farel masih belum mempunyai lesen memandu dan hanya belajar memandu di sekitar kawasan perumahannya.
Pengurusnya juga belum membenarkannya memandu ke tempat yang lebih jauh kerana usianya masih belum mencukupi.
Dalam kesibukan mengimbangi kerjaya seni dan kehidupan peribadi, Farel turut memberikan perhatian kepada pelajaran.
Ketika ini, dia masih bersekolah di peringkat menengah atas dan bersyukur kerana pihak sekolah memberikan kelonggaran apabila perlu menghadiri persembahan atau menjalankan aktiviti seni di luar kota.
Katanya, sistem pendidikan di Indonesia membolehkan pelajar yang mempunyai pencapaian tertentu diberikan kemudahan bersesuaian bagi memastikan mereka dapat meneruskan pelajaran walaupun terikat dengan komitmen lain.
“Alhamdulillah, setakat ini pelajaran tidak menjadi masalah kerana pihak sekolah memberikan kemudahan apabila saya mempunyai aktiviti di luar kota dan tidak dapat hadir ke sekolah.
“Di sekolah, saya juga dilayan seperti biasa. Memang ada yang menyapa, tetapi saya menganggapnya sebagai perkara normal,” katanya.
Sasar Sambung Belajar
Biarpun sudah membina nama dalam industri muzik pada usia muda, Farel tidak mengetepikan kepentingan pendidikan dan berhasrat melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat persekolahan.
Dia berminat mendalami bidang komunikasi dan sudah mempunyai pilihan universiti di Indonesia, iaitu Universitas Indonesia (UI).
Bagaimanapun, Farel tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian di luar negara sekiranya berpeluang berbuat demikian.
“Saya memang mahu melanjutkan pelajaran ke universiti. Kalau di Indonesia, saya berminat dengan Universitas Indonesia.
“Kalau ada peluang ke luar negara, saya juga terbuka untuk menyambung pengajian di sana. Saya mahu mengambil jurusan komunikasi,” katanya.
Suka Pergi Bukit Bintang
Berkongsi mengenai kunjungannya ke Malaysia, Farel berkata kedatangannya kali ini bukan semata-mata untuk mempromosikan lagu Gadis Melayu, sebaliknya turut mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga.
Menurutnya, jadual kunjungan yang tiba pada hari Ahad itu membolehkan dia menggabungkan urusan berkaitan kerjaya dengan masa bersama keluarga dalam suasana lebih santai.
Farel juga mengakui Kuala Lumpur mempunyai tarikan tersendiri, terutama kawasan Bukit Bintang yang sering dikunjunginya setiap kali berada di Malaysia.
Dia gemar melihat persembahan penyanyi jalanan di sekitar kawasan itu selain meluangkan masa untuk membeli-belah.
“Saya suka Bukit Bintang kerana suasananya meriah. Ada orang menyanyi di tepi jalan dan saya suka melihat persembahan mereka sambil berjalan-jalan serta membeli-belah.
“Kalau datang ke Kuala Lumpur, saya memang suka ke Bukit Bintang. Bagi saya, itu antara perkara menarik yang boleh dilakukan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Farel turut mendedahkan makanan laut, khususnya tiram yang dijual di sekitar Bukit Bintang, menjadi antara hidangan yang wajib dinikmatinya setiap kali berkunjung ke Malaysia.
“Kalau makanan, saya selalu makan tiram di Bukit Bintang. Setiap kali datang ke Malaysia, saya pasti akan ke situ,” katanya.




