Bersempena dengan sambutan bulan kesedaran kanser payudara yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, Darla Club telah menganjurkan sebuah program diberi nama ‘Pink Promise 2026’ yang berlangsung di The Campus, Ampang pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Darla Group Sdn. Bhd, Dr Wandarl atau nama penuhnya Dr Wan Dalila Hazmy berkata, acara berkenaan menghimpunkan pelbagai pengisian terutama sekali berkaitan kesedaran kesihatan payudara dan kesejahteraan mental.
“Penganjuran program berkenaan bukan semata-mata bertujuan mengadakan acara komuniti, sebaliknya menjadi ruang untuk menyampaikan mesej bahawa setiap individu perlu menyayangi diri sendiri dan tidak berasa keseorangan ketika berdepan cabaran hidup.
“Program ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan kesedaran kesihatan payudara dan penuaan sihat sebagai sebahagian daripada usaha menjaga diri kerana kecantikan yang sebenar bukan hanya bergantung kepada perubahan fizikal, malah turut terpancar melalui hati dan jiwa yang tenang,” ujarnya.
Selain Dr Wandarl yang memberikan perkongsian kepada hadiri yang hadir, acara diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Dr Alisa Busaeri, doktor estetik bertauliah LCP dan pendukung kesejahteraan holistik, menerusi tajuk Preserve Your Radiance: A Doctor’s Guide to Breast Cancer Awareness and Healthy Ageing.

Sementara itu, Nur Ernawati Mohamad Nor selaku pengurus projek dan koordinator berkata, acara ‘Pink Promise 2026’ yang dianjurkan pada hari berkenaan bukanlah setakat perkongsian mengenai kesihatan payudara dan mental semata-mata.
Ujarnya, selain menghimpunkan pelbagai pengisian berkaitan kesedaran kesihatan payudara mental, turut diadakan persembahan muzik, tarian serta pertunjukan fesyen yang membabitkan empat pereka tempatan.
“Pada mulanya memang nak buat sesi perkongsian sahaja, tetapi apabila difikirkan semula tiba-tiba timbul idea untuk membuat pertunjukkan fesyen memandangkan sambutan Aidilfitri tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
“Lagipun kebanyakan yang hadir pada program ini bukanlah dalam kalangan rakyat tempatan. Jadi, inilah masanya untuk kita ketengahkan pereka-pereka tempatan kepada mereka,” ujarnya.
Istimewanya, persembahan muzik pada acara berkenaan telah dijayakan oleh suami Erna sendiri iaitu pelakon Zul Huzaimy bersama band yang dikenali sebagai Zul Huzaimy And The Velvet Boys.
Memandangkan acara yang berlangsung itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai, Erna tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkannya setiap tahun.
“Kami memang sasar untuk adakan lagi pada tahun hadapan. Lagipun bukan mudah untuk menggabungkan sebuah acara mengenai kesihatan dengan pertunjukkan fesyen,” ujarnya. – KopiPlanet.com





