Luncai Emas Sdn. Bhd. hari ini secara rasminya mengumumkan penganjuran Konsert MAGNUM OPUS – M.NASIR Dekad Ke-5, (MOMND5) yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 (Sabtu), jam 8.00 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Magnum Opus ialah istilah Latin yang bermaksud himpunan karya-karya terpenting seorang seniman berpengaruh sama ada dalam bentuk penulisan, muzik, seni halus mahupun filem yang mendapat perhatian khalayak arus perdana.
Persembahan berbentuk dokumentari muzikal yang bakal dipersembahkan oleh Dato’ M. Nasir dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ini dibawakan khas bagi meraikan warisan, ilham, dan dedikasi figura seni sanjungan ramai, Dato’ M. Nasir, yang telah mewarnai serta membangunkan landskap muzik Nusantara selama 5 dekad.
Menerusi sidang media kedua ini, Luncai Emas dengan bangganya memperkenalkan rakan penaja rasmi yang turut memperkasakan penganjuran MOMND5, serta mengumumkan penglibatan beberapa artis jemputan khas (guest artists) yang bakal menyerikan lagi konsert ini.
Penganjuran MOMND5 ini mendapat sokongan menerusi program Dana Persembahan Muzik di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures,manakala pihak Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik dengan menyediakan kemudahan ruang dan tempat serta penggunaan Orkestra.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut membantu dengan memberikan sokongan potongan cukai ke atas penajaan bagi penganjuran konsert ini.

Sejarah penganjuran Magnum Opus bermula daripada satu gagasan ilmiah dan wacana budaya bagi mengupas serta meraikan seniman, Dato’ M. Nasir.
Siri pertama (#kembarakesolo) dimulakan di Auditorium Mini MATIC (2017) menerusi wacana intim dianjurkan Sahabat M. Nasir yang mengupas perjalanan seni beliau dari era KEMBARA sehingga album SOLO (1989).
Manakala siri kedua (#searchwingsdanrocknroll) pula diteruskan di Auditorium DBKL (2019) anjuran Magnus Work Production menerusi forum rock bersama tokoh industri serta persembahan lagu ciptaannya buat Search & Wings bersama kumpulan ‘Gong’.
Untuk Konsert MOMND5, sekali lagi M. Nasir diiringi oleh kumpulan Gong bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Sdr Eric Lee.
Menerusi kolaborasi ini, sebanyak 35 gubahan lagu ikonik ciptaan Dato’ M. Nasir akan diberi olahan muzik berorkestra oleh pengarah muzik berpengalaman luas, Sdr Mohd Rafi Shafie.
Vokal Dato’ M. Nasir bersama pemuzik orkestra profesional serta artis jemputan akan diterjemahkan ke pentas Panggung Sari oleh Pengarah Persembahan, Sdr Azmi Zainal Abidin, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam menerbitkan banyak konsert artis tempatan.
Sdr Ismail Mohd Shariff iaitu pencetus asal program MOMND5 mengilhamkan Rekabentuk Produksi dan Skrip, manakala Sdr Keon Omar bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.
Luncai Emas Sdn Bhd berharap agar Konsert MOMND5 bersama OSK ini dapat terus memelihara warisan seni muzik Melayu dan seterusnya memberi inspirasi kepada generasi pemuzik dan komposer muda untuk terus mengeluarkan karya-karya hebat pada masa akan datang.
Pihak penganjur turut mengumumkan bahawa sehingga kini sebanyak 90% tiket konsert telah pun terjualsejak jualan dibuka. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com bagi pilihan kategori berikut:
Stalls : Kategori A (RM1,588), B (RM1,188), C (RM988), D (RM838)
Grand Circle : Kategori E (RM638), F (RM538) – Habis Dijual
Upper Circle : Kategori G (RM338), H (RM288) – Habis DIjual
Sebagai penutup, Luncai Emas Sdn Bhd bersama rakan kerjasama dan penaja dengan sukacitanya menjemput seluruh peminat muzik ke konsert MOMND5 untuk bersama-sama Dato’ M. Nasir meraikan perjalanan beliau selama lima dekad ini. – KopiPlanet.com




