
Namron Jamin One Two Jaga Takkan Bazirkan Wang Penonton
Pelakon dan pengarah, Namron yakin filem terbaharu arahannya, One Two Jaga tidak akan membazirkan wang penonton yang pergi melihatnya di panggung wayang.
Menurutnya, filem bertemakan rasuah dalam kalangan anggota polis itu dijangka menemui penonton pada bulan September ini.
“Saya jamin lepas tengok penonton takkan cakap yang filem ini bazirkan duit mereka, takkan ada yang cakap filem ini macam gampanglah dan macam-macam lagi kata-kata yang tak sedap didengar.
“Ini kerana filem ini dibikin berdasarkan realiti kehidupan yang hari-hari mereka saksikan di luar sana dan saya terjemahkan menerusi filem One Two Jaga ini,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media pelancaran One Two Jaga di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filem yang menjalani penggambaran dua tahun lalu itu dibintangi Zahiril Adzim, Iedil Putra, Bront Palarae, Ameerul Affendi, Rosdeen Suboh dan pelakon Filipina Timothy Castillo.
Filem berkenaan mengisahkan tentang rasuah dalam kalangan anggota polis serta masalah kebanjiran pendatang tanpa izin di Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Namron, filem berkenaan sudah pun melalui peringkat tapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Saya guna perkataan-perkataan kasar itu kerana ingin mencerminkan kata-kata seharian kita. Sebabnya, filem ini saya buat memang berdasarkan realiti kehidupan kita.
“Walaupun mereka membuang beberapa perkataan yang dikatakan tidak sesuai digunakan, tetapi ia tidak lari daripada mesej yang cuba disampaikan,” katanya.
One Two Jaga merupakan filem kelima arahan Namron selepas Gedebe, Gadoh, Jalan Pintas dan Psiko. Ia diterbitkan Bront Palarae dan Jazzy Group. – KopiPlanet.com