
Filem seram Indonesia, Roh Yang Tak Terlihat (judul asal Mereka Yang Tak Terlihat) mencipta rekod tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Museum Rekor Indonesia (MURI).
Pengarahnya, Billy Christian berkata, pengiktirafan oleh MURI itu diberikan apabila filem itu mencipta rekod penampilan makhluk halus paling banyak dalam sebuah filem.
“Pada awalnya saya tidak menyangka akan menampilkan sebanyak 67 roh dan hantu sewaktu menghasilkan filem ini.
“Secara jujurnya, sewaktu menghasilkan lakon layar untuk filem ini saya tidak mengira jumlah roh dan hantu yang akan ditampilkan,” ujarnya.
Menurutnya, untuk kebanyakan babak dalam filem arahannya itu menampilkan banyak makhluk halus, sehinggalah dia diberitahu tentang jumlahnya oleh pihak penerbit.
Bagaimanapun, rekod berkenaan bukanlah menjadi sasaran utama kerana kemunculan begitu banyak makhluk halus itu lebih kepada memperkuatkan jalan ceritanya.
“Apa yang ingin dipaparkan adalah tentang keistimewaan watak utamanya yang mempunyai deria ke-6 dengan mampu melihat roh dan hantu di sekelilingnya.
“Itulah yang terpaksa dilalui oleh Saraswati sepanjang kehidupannya apabila sering berhadapan dengan makhluk halus,” jelasnya.
Filem ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal iaitu Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saras (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello). Saras, sejak zaman kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak lain umumnya kerana mempunyai kemampuan deria keenam atau disebut anak indigo.
Setelah ditayangkan di Indonesia pada tahun lalu dengan judul Mereka Yang Tak Terlihat, filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 April 2018.
Roh Yang Tak Terlihat turut membariskan beberapa pelakon popular seperti Sophia Latjuba, Estelle Linden, Bianca Hello, Roweina Umboh, Dayu Wijanto, Frisly Herlind dan Aliyah Faizah.





