Cerita ArtisHiburan

Bienda Dedahkan Tarikh Sebenar Pernikahan Kepada Umum

Setelah hampir sembilan tahun menyembunyikan tentang tarikh sebenar pernikahannya, akhirnya penyanyi Bienda atau nama sebenar, Nor Razlinda Razli, 33, mendedahkan kisah di sebalik pernikahannya.

Bienda sebelum ini mendedahkan kepada umum 10 Oktober 2010 adalah tarikh pernikahan, yang mana ia sebenarnya telah berlangsung setahun sebelum itu.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinannya itu sebaliknya mempunyai sebab kenapa dia mengambil keputusan sedemikian.

“Sudah tiba masanya saya berkongsi dengan semua orang yang kami telah bernikah pada 10 Oktober 2009 dan setahun kemudian barulah majlis persandingan diadakan.

“Saya merahsiakan perkara itu kerana saya mahu buat perkara yang wajib dahulu iaitu akad nikah dan setahun selepas itu lepas wang yang dikumpul dah cukup baharulah majlis resepsi diadakan.

“Saya dan suami memang kumpul duit sendiri untuk majlis kami sebab kami enggan menyusahkan keluarga. Pesan saya untuk orang yang nak berkahwin, buat benda yang wajib dahulu.

“Kalau bukan disebabkan saya seorang artis, memang saya tak nak buat majlis resepsi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Bienda ditemui ketika pertunjukkan fesyen Clarissa X Bienda dan pelancaran single terbaharunya, Jaga Hati di The Glass Suite, Bora Ombak, Putrajaya semalam.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, disebabkan merahsiakan tarikh pernikahannya ramai pihak membuat andaiaan Bienda dan suami, Kamarul Raziman Abd Rahman telah berkahwin di Thailand tanpa mengetahui yang sebenarnya dia bernikah di masjid berdekatan kediaman ibunya di Gombak.

“Kelakar apabila ada pihak cakap yang saya rahsiakan pernikahan sebab kahwin lari dekat Thailand. Sedangkan saya nikah di masjid sebelah rumah ibu di Gombak,” katanya.

Sepanjang sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, Bienda dan suami dikurniakan dua anak perempuan, Lavienda Namiraz, 6, dan Laxiendra Namiraz, 4.

Bercakap mengenai perkembangan seni, Bienda kini tampil dengan single Jaga Hati yang digubah oleh DJ Fuzz manakala lirik oleh Al-Abas.

“Saya pernah kecewa sangat apabila album saya Kenaliku pada 2009 tidak menjadi. Tak tahu kenapa tapi memang boleh dikatakan album tersebut gagal berada di pasaran.

“Jadi, kali ini saya berharap sangat dengan kelainan lagu terbaru Jaga Hati ini dapat menarik hati pendengar masa kini,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button