
Nadia Aqilah Dan Suami Berbeza Selera Ketika Bersahur
Mendirikan rumah tangga pada tanggal 20 April lalu, pastinya pelakon Nadia Aqilah masih berada dalam fasa berbulan madu bersama suaminya, Saiful Ridzuan.
Ketika ditanya momen-momen menarik sepanjang menjalani ibadah puasa bersama suami tercinta, Nadia berkata dia dan suami masing-masing mempunyai selera berbeza ketika bersahur.
“Ramadan tahun ini berbeza sebab selalu makan sahur dan berbuka dengan abang saya, sekarang dengan suami pula. Setakat ini sudah beberapa kali kami dapat berbuka puasa bersama biarpun di sebalik kesibukan kerja masing-masing.
“Kalau untuk bersahur, saya jenis yang suka bersahur dengan kurma dan bijirin manakala suami pula lebih suka makan nasi. Tapi dia tak cerewet, dia suka makan lauk-lauk ringkas dan mudah untuk disediakan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sepanjang bulan Ramadan kali ini, masa Nadia banyak dihabiskan untuk menjalani latihan teater Bangsawan Dendam Laksamana yang akan mula dipentaskan bermula 25 Jun ini.
Menerusi teater arahan Pat Ibrahim itu, Nadia akan membawakan watak Dang Anum. Selain Nadia, naskhah itu turut dibintangi Hairi Safwan, Jay Iswazir, Azizah Mahzan, Anwar Rusdini, Asmidar Ahmad dan Nasz Zally.
Menurut Nadia, teater itu menuntut lebih banyak ‘kerja rumah’ daripadanya memandangkan bahasa Melayu klasik yang digunakan untuk merealisasikan watak tersebut.
“Untuk watak saya, saya banyak buat rujukan dengan tengok filem-filem Melayu lama dan saya juga banyak tengok contoh cara percakapan bintang lagenda Latifah Omar.
“Tidak mudah sebenarnya untuk memainkan watak dalam teater ini sebab itu kami ada latihan yang berlangsung sepanjang bulan puasa ini bagi memantapkan lagi mutu persembahan kelak.
“Saya lebih suka berlakon teater sebab semua orang yang terlibat dalam teater, bila bekerja mereka memang tak main-main. Itu yang saya suka semua komited,” katanya.
Bangsawan Dendam Laksamana akan mula dipentaskan di Johor pada 25 Jun hingga 1 Julai, Melaka (2-8 Julai), Pahang (9-15 Julai), Terengganu (15-21 Julai), Pulau Pinang (22-28 Julai), Kedah (30 Julai-5 Ogos), Perak (5-11 Ogos) dan Kuala Lumpur (29 Oktober – 11 November). – KopiPlanet.com