
“Raya Bertambah Meriah Dengan Kehadiran Yuna” – Aishah Sinclair
Penyampai radio dan pengacara, Aishah Sinclair mengatakan dia cukup teruja memandangkan tahun ini merupakan tahun pertama dia menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan adik iparnya, penyanyi Yunalis Zarai.
Menurut Aishah, kediaman ibu bapanya pasti akan cukup meriah dengan kehadiran keluarga abangnya, Ashraf Sinclair dan isteri, Bunga Citra Lestari serta anak mereka, Noah yang menetap di Jakarta, Indonesia apabila turut turun beraya di Kuala Lumpur.
“Tahun ini memang raya cukup meriah memandangkan adik saya, Adam pun dah berkahwin. Adik-beradik saya pun akan balik beraya di Kuala Lumpur, Yuna pun sama akan balik, jadi memang meriahlah raya kami sekeluarga.
“Kami juga akan adakan rumah terbuka secara kecil-kecilan bersama-sama ahli keluarga dan sanak-saudara sebelah ibu saya yang berasal daripada keluarga yang besar. Saudara-saudara saya sahaja sudah memenuhkan khemah di luar rumah,” katanya berseloroh kepada KopiPlanet.com.
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga begitu teruja untuk menyambut perayaan kali ini kerana kebetulan hari jadi bapanya, Muhammad Sinclair jatuh pada hari raya kedua.
“Umi memang dah pesan anak-anak semua balik beraya kerana kami akan adakan sambutan hari jadi bapa yang jatuh pada hari raya kedua. Kami buat kecil-kecilan sahaja sebab bapa saya memang seorang yang agak private orangnya jika dibandingkan dengan umi,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan seni, Aishah berkata walaupun cukup suka bergelar hos untuk program televisyen, namun dia terpaksa berkorban memandangkan kedua-dua anak perempuannya masih kecil dan memerlukan perhatian daripadanya.
“Buat masa ini memang saya hanya bekerja sepenuh masa sebagai penyampai radio dan terpaksa tolak kalau ada tawaran menjadi hos di televisyen.
“Ini pengorbanan yang perlu saya buat untuk anak-anak saya yang masih kecil, takut kalau saya ambil kerja itu saya tiada masa pula nanti untuk anak-anak,” ujarnya.
Hasil perkahwinan dengan Sheikh Sharnaz, Aishah dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Soraya Ann, 8, dan Aina Elisabeth, 4 tahun. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Aishah Sinclair