
Jimin BTS Tarik Perhatian Peminat Dengan Cipta Lagu Sendiri
Vokal utama kumpulan BTS iaitu Park Ji Min, 23 atau lebih dikenali dengan panggilan Jimin telah memuat naik satu post mengenai lagu yang dicipta olehnya baru-baru ini.
Perkongsian ini telah diumumkan oleh Jimin menerusi akaun Twitter miliknya. Menurut perkongsian itu, Jimin secara teruja telah memaklumkan kepada para peminat bahawa lagu tersebut akhirnya telah dilancarkan.
“Hai semua, anda sudah menunggu terlalu lama! Akhirnya lagu saya telah dilancarkan. Lagu ini bukan hanya untuk saya tetapi ianya juga adalah untuk anda semua.
“Ini merupakan kali pertama saya menciptanya dan sudah pasti banyak kekurangan tetapi tolong mendengar lagu ini berulang kali. Terima kasih semua kerana setia menunggu,” ujarnya.
Lagu yang telah dicipta, ditulis serta dinyanyikan oleh penyanyi kelahiran Korea Selatan ini dikenali sebagai Promise.
Bagi menghargai penantian para peminatnya selama ini, Jimin bukan sahaja menyediakan track secara percuma bagi penstriman (streaming), malahan dia turut menamakan pautan (link) bagi karyanya itu sebagai ‘first Jimin present’ dan perkara tersebut secara manisnya telah menyentuh hati peminat. – KopiPlanet.com