• FOLLOW US

Senang Berinteraksi Dengan Artis Kpop, Hani Fadzil Ambil Kelas Bahasa Korea

Pengacara program Mpop, Hani Fadzil menyatakan ketika ini dia sedang mengambil kelas bahasa Korea secara khusus bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa berkenaan.

Menurut Hani, tujuan utamanya mengambil kelas tersebut secara serius kerana ia boleh dijadikan sebagai persediaan untuk lebih memudahkan dia berinteraksi dengan artis Kpop yang datang ke Malaysia.

“Kalau ada sebarang acara yang membabitkan kehadiran artis-artis Kpop ke Malaysia, bolehlah saya merebut peluang untuk menjadi pengacara.

“Dengan penguasaan bahasa Korea yang dimiliki, senang untuk saya berinteraksi dengan mereka dan tidak perlulah pihak penganjur menggunakan khidmat penterjemah,” ujarnya.

Menurut Hani atau pemilik nama sebenar Intan Farhani Mohd. Fadzil, sekarang dia baru sahaja selesai pembelajaran di peringkat yang kedua dan akan ke peringkat yang seterusnya.

Ujarnya, minat untuk mendalami bahasa Korea sudah bermula sejak tahun lepas dan kini baru dia betul-betul bersedia untuk belajar dengan lebih mendalam.

“Tahun lalu saya lebih banyak belajar secara individu menerusi rakan-rakan. Kemudian pada tahun ini barulah saya ambil keputusan untuk mengambil kelas secara khusus,” jelasnya.

Selain sibuk dengan kelas bahasa Korea, Hani juga kini bergelar pengacara untuk program infotainment iaitu Mpop yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Rabu di TV3 (12.55 tengah hari) dan TV 9 (8.30 malam) serta menerusi platform digital www.tonton.com.my. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Hani Fadzil

Song Joong Ki Kuaratin Diri Selepas Pulang Dari Columbia

Sekembali daripada menjalani penggambaran di Columbia, aktor popular Song Joong Ki mengambil inisiatif dengan melakukan proses pengasingan diri selama dua minggu.

Bekas suami Song Hye Kyo itu baharu sahaja tiba di Seoul, pagi tadi bersama krew penggambaran yang terlibat.

Joong Ki berada di Columbia kerana menjalani penggambaran filem Bogota. Penggambaran bermula sejak Januari lalu dan pihak produksi dijangka menyiapkan keseluruhan pasca produksi filem itu pada bulan Mei ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensi pengurusannya, Joong Ki secara sukarela akan melakukan kuarantin sekali gus mengambil kesempatan itu untuk berehat daripada sebarang komitmen kerja.

Bogota mengisahkan tentang kesusahan hidup seorang imigran dari Korea yang berhijrah ke Columbia. – KopiPlanet.com

Big Bang Perbaharui Kontrak, Akan Terus Meriahkan Industri

Walaupun kini hanya tinggal berempat, namun kesemua ahli kumpulan Big Bang bertekad untuk terus memeriahkan industri seni.

Malah, keempat-empat mereka iaitu G-Dragon, Taeyang, T.O.P dan Daesung dilaporkan sudah menandatangani kontrak terbaharu dengan agensi pengurusan mereka, YG Entertainment.

Ini merupakan kali ketiga mereka memperbaharui kontrak dengan syarikat pengurusan terkenal itu selepas melakukan perkara sama pada 2011 dan 2015.

“Big Bang merupakan satu kumpulan yang berjaya mengubah arus muzik popular di Korea Selatan. Kami akan sentiasa menyokong Big Bang agar mereka terus melakar sejarah dalam dunia K-Pop,” kata wakil YG Entertainment.

Bekas anggota Big Bang, Seungri menarik diri daripada kumpulan itu pada Mac tahun lalu selepas terpalit dengan kes skandal seks dan perjudian. – KopiPlanet.com

Peminat Risau Status Kesihatan Mental Ahn Jae Hyun

Agensi pengurusan pelakon Ahn Jae Hyun iaitu HB Entertainment sedia maklum mengenai kapsyen kontroversi yang ditinggalkan selebriti itu menerusi entri di Instagramnya baru-baru ini.

Menerusi satu posting tersebut, Jae Hyun, 33, menulis, ‘tolong lupakan aku’ yang mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat yang mengandaikan aktor itu kini berada dalam masalah kemurungan.

Walau bagaimanapun, Jae Hyun dilihat sudah memadam posting tersebut.

“Sebagai pihak yang menguruskan kerjayanya, kami tiada hak untuk bercakap mengenai apa yang dia paparkan di akaun media sosial peribadinya.

“Dia mungkin agak keberatan untuk bercerita mengenai kisah peribadi. Kami akan sentiasa memastikan dia dalam keadaan baik,” kata pihak pengurusannya. – KopiPlanet.com

Hong Soo Ah Akui Tak Menyesal Buat Pembedahan Plastik

Aktres Hong Soo Ah mengakui tidak pernah menyesali keputusannya untuk melakukan pembedahan plastik terhadap rupa parasnya.

Walaupun diakui pembedahan plastik merupakan satu perkara biasa di kalangan selebriti di Korea Selatan namun kebanyakannya masih lagi tidak terbuka untuk mengakui mereka melakukan perkara tersebut untuk kelangsungan karier masing-masing.

Menurut Soo Ah, pembedahan kelopak mata yang dilakukannya telah banyak membantu perkembangan kerjaya lakonannya sehingga kini.

Soo Ah mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan di bahagian mata ketika menjalani penggambaran sebuah drama di China, Heirs yang mana jurusolek menggalakkannya untuk berbuat demikian bagi mencantikkan lagi raut wajahnya.

“Walaupun ramai orang yang akan mengecam saya di atas pengakuan ini tapi saya tidak pernah melakukannya. Ia sangat menggembirakan selepas melakukannya, lebih banyak tawaran lakonan yang saya dapat daripada penerbit,” katanya.

Peminatnya juga memberikan sokongan di atas keterbukaan aktres itu dengan berkata, “Dia makin berjaya dan ia satu perkara yang bagus. Saya suka dengan pengakuan jujurnya.” – KopiPlanet.com

Akui Gosip Cinta, Kangta Bahagia Dengan Jung Yoo Mi

Selepas beberapa bulan digosipkan bercinta dengan pelakon Jung Yoo Mi, ahli kumpulan H.O.T, Kangta akhirnya mengakui sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan aktres tersebut.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya, SM Entertainment serta agensi pengurusan Yoo Mi, Ace Factory, kedua-dua selebriti itu kini sedang hangat bercinta.

“Kedua-dua selebriti ini sedang berpacaran. Mulanya mereka sekadar berkawan rapat namun hubungan itu akhirnya membawa keserasian sehingga timbul bibit-bibit bercinta,” kata kenyataan tersebut.

Gosip mengenai Kangta dan Yoo Mi mula tersebar sejak Ogos lalu apabila kedua-duanya sering meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti mendaki gunung.

Sebelum ini Kangta pernah dikaitkan bercinta dengan personaliti tv, Oh Jung Yeon dan model, Woo Joo Ahn. – KopiPlanet.com

Minwoo Shinhwa Akhirnya Bebas Tuduhan Laku Gangguan Seksual

Penutup tahun ini nampaknya memberikan perkhabaran gembira buat ahli kumpulan Shinhwa, Minwoo apabila pertuduhan dirinya melakukan gangguan seksual telah digugurkan oleh pihak mahkamah.

Agensi pengurusan Minwoo, Liveworks telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut dengan mengatakan, “Pihak pendakwaan akhirnya memberikan keputusan bahawa Minwoo tidak bersalah di atas dakwaan melakukan gangguan seksual.”

Jun lalu, Minwoo didakwa melakukan gangguan seksual terhadap dua gadis berusia awal 20-an di sebuah bar.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Minwoo menjelaskan, “Saya mungkin keterlaluan dalam bergurau namun saya langsung tiada niat buruk selain hanya cuba untuk menjadi ramah dengan mereka.”

Dua gadis itu juga difahamkan sudah menarik balik laporan terhadap Minwoo selepas penyanyi itu membuat permohonan maaf terhadap mereka.

Susulan itu, kes Minwoo sudah digugurkan dan sebarang penyiasatan mengenai kes itu telah dihentikan oleh pihak polis. – KopiPlanet.com

Muzik Video Jennie Raih Tontonan Paling Tinggi Sepanjang Tahun Ini

Muzik video lagu Solo nyanyian Jennie berjaya mencatat kejayaan tersendiri apabila ia diiktiraf muzik video artis wanita K-Pop yang meraih jumlah tontonan paling tinggi sepanjang tahun ini.

Muzik video ahli kumpulan Blackpink itu mencatatkan lebih 400 juta tontonan di Youtube sejak ia mula dimuat naik pada November tahun lalu.

Bukan itu sahaja, lagu Solo turut menjuarai senarai lagu yang paling banyak dimuat turun di aplikasi penstriman muzik iTunes di lebih 40 buah negara sebaik ia dilancarkan tahun lalu.

Solo merupakan projek sampingan Jennie sementara Blackpink ‘berehat’ sebentar daripada dunia hiburan.

Terbaharu, kumpulan yang turut dianggotai Lisa, Rose dan Jisoo itu dikhabarkan bakal tampil dengan album terbaharu menjelang tahun baharu 2020 bagi mengubati rindu peminat terhadap muzik mereka.

Blackpink mencipta fenomena sedunia apabila single mereka Ddu-du ddu-du diterima baik peminat dari serata dunia termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat. – KopiPlanet.com

Agihan Untung Tak Adil, BTS Saman Syarikat Pengurusan Sendiri?

Kumpulan BTS dikatakan bakal menyaman syarikat pengurusan mereka, Big Hit Entertainment di atas pengagihan keuntungan yang tidak adil diberikan kepada kumpulan tersebut.

Menerusi laporan JTBC, BTS yang mencipta fenomena di seluruh dunia itu setakat ini telah mencatatkan aset jualan lebih RM5 bilion pada tahun lalu.

Kesemua tujuh ahli kumpulan itu telah pun menandatangani kontrak sambungan selama tujuh tahun dengan Big Hit Entertainment, baru-baru ini.

Sebelum menandatangani kontrak tersebut, ahli kumpulan itu dikatakan tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh agensi pengurusan tersebut dan disebabkan itu, mereka sedang menimbangkan untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Namun, Big Hit Entertainment ada mengeluarkan sebuah kenyataan media menjelaskan artikel yang dilaporkan JTBC itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

“Kami tiada apa yang hendak dikatakan kecuali ingin menegaskan yang artikel itu adalah tidak benar sama sekali,” kata agensi tersebut.

BTS yang ditubuhkan pada 2013 dianggotai oleh V, J-Hope, RM, Jin, Jimin, Jungkook dan Suga. – KopiPlanet.com

Alami Kemurungan, Pihak Pengurusan Rehatkan Aktiviti Seni Kang Daniel

Pihak pengurusan penyanyi Kang Daniel, Konnect dalam satu kenyataan media baru-baru ini mendedahkan yang mereka mengambil keputusan untuk merehatkan kerjaya seni artis naungannya itu buat sementara waktu.

Ini kerana Kang 23, dipercayai mengalami masalah kemurungan berikutan sering menerima kecaman hebat yang sering dilontar netizen di media sosial.

Menurut Konnect lagi, bekas ahli kumpulan Wanna One itu telah didiagnosis mengalami penyakit kemurungan pada awal tahun ini.

“Kang telah mengadu dia sering mengalami masalah kemurungan dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami telah ambil keputusan untuk merehatkan dia daripada sebarang aktiviti seni buat sementara waktu,” kata wakil pengurusan tersebut.

Kang sebelum ini menulis status di media sosialnya berbunyi, “Saya tertekan, saya berharap ada seseorang yang dapat membantu saya.”

Kang memulakan kerjayanya apabila memenangi pertandingan nyanyian Produce 101 pada 2017 sebelum dia menyertai kumpulan Wanna One.

Namun kumpulan itu berpecah Januari tahun lalu dan selepas itu dia meneruskan kerjaya solo dan tampil dengan album sulung pertamanya berjudul Color On Me, Julai lalu. – KopiPlanet.com