Cerita ArtisHiburan

Aaron Aziz Aktif Dalam Kerja Kebajikan, Mula Kerjasama Dengan CACIG Sejak Tahun 2020

Dalam dunia hiburan yang sering dihujani pelbagai persepsi, pelakon dan pengarah terkenal Datuk Aaron Aziz memilih untuk terus melangkah dengan tenang bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang memberi makna.

Di sebalik populariti dan karier seni yang cemerlang, pelakon filem KL Gangster ini tidak pernah mengetepikan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat. Sejak beberapa tahun lalu, beliau aktif menjalankan pelbagai kerja kebajikan dan kemanusiaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Menurut perkongsian daripada Charitable Association of Cambodian Islamic Graduates (CACIG), hubungan kerjasama dengan Aaron yang bermula pada 2020 telah membawa impak besar kepada komuniti di Kemboja.

“Alhamdulillah, CACIG pernah bekerjasama dengan Datuk Aaron Aziz dalam program kebajikan sejak tahun 2020.

“Atas kerjasama dan bantuan beliau, kami dapat menyalurkan sumbangan daripada penderma Malaysia dan Singapura untuk membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan nelayan di Kemboja,” ujar wakil CACIG dalam kenyataan di Facebook rasmi mereka.

Hasil daripada sokongan berterusan pelakon filem Ombak Rindu itu juga, CACIG berjaya melaksanakan pelbagai projek kebajikan termasuk pembinaan rumah wakaf, madrasah, penyediaan sampan, bekalan makanan dan sumber air minum untuk nelayan yang memerlukan.

“Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan bantuan daripada Datuk Aaron Aziz serta seluruh ahli keluarga, rakan-rakan dan semua penderma yang dermawan. Hanya Allah jua dapat membalas jasa baik kalian semua. Jazakumullah khairan,” ujar kenyataan itu lagi.

Selain kerja kebajikan di luar negara, bapa kepads tiga cahaya mata ini turut aktif membantu masyarakat di dalam negara, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik COVID-19. Ketika ramai terjejas, beliau antara individu yang tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, tanpa sebarang publisiti besar.

Perkara itu turut dikongsi beberapa pihak yang memaklumkan Aaron juga menghantar bantuan ke beberapa lokasi di negeri Sabah, Pahang, Perlis, Kedah, Johor dan Selangor. Ia juga termasuk bantuan kepada mangsa banjir.

Tidak cukup dengan itu, tahun lalu Aaron juga pernah terbabit dalam program Malaysia4Palestin yang dianjurkan pihak Astro.

Progran ini adalah inisiatif untuk selebriti memberi sumbangan dari segi tenaga kerja selain sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Tamat

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button