
Sebelum ini, terdapat pertikaian dalam kalangan netizen berhubung dengan penganjuran acara seni dan hiburan, termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang akan berlangsung malam.
Pertikaian berkenaan timbul memandangkan Kuala Lumpur masih dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, industri kreatif dibenarkan melakukan aktiviti, asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan berbeza dengan aktiviti sukan yang masih tidak dibenarkan.
“Mereka hanya perlu mengikut SOP yang diputuskan oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SOP yang diarahkan adalah sangat ketat iaitu tidak boleh ada penonton, wajib memakai pelitup muka, tidak melibatkan warga asing, jumlah kru produksi yang minima,” ujar beliau.
Ismail Sabri berkata demikian dalam satu sidang akhbar harian yang berlangsung pada hari Ini.
Jelas beliau, setiap penganjuran aktiviti seni juga akan dipantau oleh wakil MKN dan Polis Diraja Malaysya (PDRM) dan jika perlanggaran SOP berlaku, tindakan akan terus diambil.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu bahawa berkenaan dengan aduan masyarakat di laman sosial berkaita pengajuran ABPBH, dia menyerahkan perkara tersebut kepada KKMM.
“Saya percaya bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia tentu tahu berkenaan perkara ini dan saya serahkan kepada pihaknya untuk berbincang dengan MKN jika berlaku sebarang perubahan,” ujarnya.
Ismail Sabri mengulas mengenai pertikaian netizen berkenaan kebenaran penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang disiarkan secara langsung pada esok di Axiata Arena, Bukit Jalil pada pukul 9.00 malam.
Terdapat juga netizen yang membandingkan mengenai pembatalan semua acara sukan termasuk Piala Malaysia berbanding aktiviti seni yang mendapat kebenaran. – KopiPlanet.com