
Achey & SugarBomb Sumbang 10,000 Cecair Pembasmi Kuman Menerusi Program Care For You
Tidak dinafikan bahawa cecair pembasmi kuman atau sanitizer kini menjadi barang keperluan asas untuk perlindungan diri bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan.
Melihatkan kepada kepentingan barang tersebut terhadap guru dan pelajar sekolah, syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn Bhd telah menyumbangkan cecair berkenaan kepada sekolah menengah dan tadika sekitar Lembah Klang, selain Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.
Sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerusi program SugarBomb Care For You.
Bersama duta SugarBomb, Achey dan Maskot, Mr Bomb, mereka turun padang untuk mengedarkan cecair pembasmi kuman ketika persekolahan dibuka, baru-baru ini.
Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli berkata, program berkenaan adalah sebahagian usaha mendekati golongan sasaran menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
“Kami melihat ramai guru dan pelajar yang terpaksa ke sekolah ketika jangkitan Covid-19 menunjukkan angka yang tinggi. Tentunya, mereka menjadi golongan berisiko tinggi apabila keluar rumah.
“Jadi, atas dasar keprihatinan Achey dan Mr Bomb turun padang menyerahkan 10,000 botol cecair pembasmi kuman kepada 10 sekolah sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya memilih sekolah yang mempunyai ramai pelajar sekitar Klang dan ia sebahagian usaha membantu sekolah dalam meringankan bebanan mereka memandangkan sekolah wajib menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan guru dan pelajar.
Ujarnya, antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska Al Syabab.

Dalam pada itu, Ahmad Azhari berkata, SugarBomb Worldwide tidak kisah berkongsi rezeki pada saat kebanyakan syarikat mengambil langkah berjimat cermat.
“Kami ingin berterima kasih kepada pengguna yang terus memberi sokongan kepada jenama SugarBomb. Jadi, kami berkongsi semula sumbangan dalam bentuk program CSR untuk membalas budi.
“InsyaAllah, kami merancang mengedarkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan sekolah setiap bulan. Bagi sekolah yang memerlukan cecair pembasmi kuman bolehlah menghubungi SugarBomb Worldwide. Bagaimanapun, ia mengikut kuota yang disediakan syarikat,” katanya.
SugarBomb Worldwide menghasilkan dan menjual lebih satu juta botol cecair pembasmi kuman sejak pandemik COVID-19 menyerang kira-kira sembilan bulan lalu.
Sementara itu, Achey menyatakan perasaan terujanya dapat turun padang ke PPD Klang dan beberapa sekolah untuk mengetahui perkembangan pada saat pandemik Covid-19 meningkat hingga angka jangkitan 4,000 setiap hari.
“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Apatah lagi sekarang ini tiada simptom pun boleh positif Covid-19.
“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik,” jelasnya.
Menurut Achey, ketika sempat berkunjung ke beberapa sekolah taska, dia melihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Malah, dia sendiri tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan.
“Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi. Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP ketat.
“Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar cecair pembasmi kuman kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati,” katanya.
Achey berkata, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.
“Kakak saya yang juga seorang guru pernah memberitahu SOP yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya, tetapi saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.
“Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah.
“Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang,” katanya.
Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia tidak kisah turun padang menghantar bantuan kepada sekolah pada saat pandemik menunjukkan angka yang tinggi.
“Kerja CSR ini lebih mencabar apabila dilakukan pada saat pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat.
“Saya turun padang bukan hanya kerana sebahagian kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru.
“Sebagai public figure, saya perlu ada rasa tanggungjawab bagi membantu mencegah penularan COVID-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama.
“Tanggungjawab seorang guru lebih besar apabila bertugas di taska kerana ia membabitkan golongan kanak-kanak yang tidak tahu bahaya COVID-19. Saya sendiri melihat bagaimana SOP ketat ditekankan dalam taska.
“Kita seharusnya memberi sokongan kepada golongan sasaran tak kira siapa juga mereka. Saya percaya, kita kena jaga kita,” katanya. – KopiPlanet.com