• FOLLOW US
Filem, Review

Ada Apa Dengan Dosa Papar Tema Islamik Secara Santai

Tajuk: Ada Apa Dengan Dosa
Tarikh Tayangan: 4 Jun 2020 (ASTRO FIRST)
Durasi: 1 jam 24 minit
Genre: Drama / Islamik
Pengarah: Rahila Ali
Pelakon: Wanna Ali, Haris Ismail (PU Riz), Fasha Sandha, Ashraf Muslim, Fauziah Nawi.
Klasifikasi: U

Melihatkan tajuknya sahaja sudah cukup ‘catchy’ dan menarik perhatian untuk filem ini dijadikan sebagai satu naskhah tontonan buat anda sekeluarga.

Ada Apa Dengan Dosa yang merupakan filem terbitan rumah produksi Pencil Pictures sebenarnya dijadualkan ditayangkan di pawagam pada September ini namun disebabkan penularan pandemik Covid-19, pihak penerbitan telah mengambil langkah alternatif dengan menayangkan filem tersebut di saluran Astro First (480) bermula Khamis ini (4 Jun).

Mengangkat tema kisah seorang gadis yang ingin mencari keluarga kandungnya setelah dirinya ‘dibuang’ sejak kecil di negara asing. Membesar di Edinburgh, Scotland, oleh kedua-dua ibu bapa angkat berketurunan Caucasian, Aurora tidak pernah diterapkan dengan mana-mana ajaran pegangan agama.

Sebaik rahsia tentang asal-usulnya terbongkar, Aurora bertekad untuk mencari ibu bapa kandunganya yang sudah pun pulang ke Malaysia sejurus menamatkan pengajian mereka di sana sejak dua dekad lalu.

Dalam ‘perjalanan’ mencari dirinya, Aurora bertemu dengan seorang jejaka yang mempunyai pengetahuan yang cukup meluas mengenai ajaran Islam, Khaliq yang sudi untuk membimbing dan menemaninya sepanjang pencariannya itu.

Plot penceritaan filem ini cukup kemas malah tidak keterlaluan memujii lakonan Wanna sebagai Aurora yang cukup bijak memainkan karakternya sebagai gadis yang tidak berapa fasih berbahasa Malaysia.

Walaupun mungkin akan timbul beberapa persoalan daripada penonton yang mengatakan kenapa perlu Wanna berbahasa baku, namun itulah intonasi sebenar buat mana-mana individu yang buat pertama kali belajar untuk bertutur bahasa Malaysia seperti mana yang turut diajar di universiti-universiti luar negara yang menawarkan subjek tersebut.

Wanna cukup bijak dan tidak kelihatan kekok mahupun ‘over do’ dalam penyampaian malah emosinya juga dilihat cukup sampai lebih-lebih lagi ketika ibu dan bapa kandungnya langsung tidak mahu mengakui dirinya sebagai anak mereka.

Skripnya juga dilihat cukup bersahaja dan penulis cukup suka lontaran dialog Wanna yang bertanyakan kepada Khaliq mengenai azan yang dilaungkan lelaki tersebut dengan berkata, “lagu yang you nyanyi tadi”, kelihatan cukup polos namun cukup simbolik untuk menggambarkan jati diri Aurora yang selama ini tidak mendapat didikan agama yang seharusnya diterapkan oleh ibu bapa kandungnya sendiri.

Filem juga boleh menjadi medium untuk mendidik masyarakat apabila beberapa ilmu baharu boleh diperolehi dengan menonton filem ini. Selepas menonton, baharulah penulis tahu dengan jelas bahawa bapa kandung dengan anak luar nikahnya tidak boleh langsung bersentuhan kerana mereka bukanlah mahram yang sah. Mungkin sebelum ini kita sedikit jahil dengan soal hukum-hakam agama, namun sedikit sebanyak pengisian filem ini dapat memberikan informasi baharu buat sesetengah daripada kita. Kudos pengarah dan penerbit!

Dari sudut sinematografinya pula, berbekalkan pengalaman dua pengarah fotografi yang cukup hebat, Areel Abu Bakar dan Helmi Yusof, filem ini menampilkan pemandangan di sekitar Edinburgh yang cukup cantik dan saujana mata memandang.

Keindahan ibu negara Scotland itu divisualkan dengan cukup baik dan ‘color grading’nya cukup kena dengan mood yang ingin diterjemahkan menerusi karya ini.

Secara keseluruhannya, filem arahan Rahila Ali ini mampu membuka mata kita mengenai isu dan persoalan yang sering menghantui anak luar nikah selain memaparkan sisi tiada seorang pun manusia dalam dunia ini cukup sempurna tanpa melakukan sebarang kekhilafan sesuai dengan tagline filem ini, ‘Jangan menilai seseorang dari permulaannya, nilailah dari pengakhirannya.’ – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend