
Adrianna Cinta Muncul Dengan ‘Impiana’, Karya Yang Mendalam & Penuh Emosi
Menyambung langkahnya sebagai antara wajah baharu yang kian menyerlah dalam dunia muzik tempatan, penyanyi muda Adrianna Cinta kembali dengan sebuah karya yang lebih mendalam dan penuh emosi berjudul “Impiana”, edaran Sony Music Entertainment Malaysia.
Selepas memperkenalkan dirinya menerusi single “My Baby” yang mengetengahkan sisi romantik dan lembut, kali ini Cinta tampil lebih matang dan reflektif melalui Impiana — sebuah lagu yang mengajak pendengar merenung semula erti kebenaran dan kesyukuran dalam mengejar impian.
Lagu yang digarap oleh Syaizul Amal selaku komposer, Ain Maisarah sebagai penulis lirik, dan diterbitkan oleh produser muzik Farouk Roman ini berjaya menyerlahkan kekuatan vokal dan kejujuran emosi Cinta.
Realiti Perit Di Balik Keindahan
Berbekalkan lirik yang jujur dan tema yang menyentuh tentang ‘impian palsu’, Impiana menyelami sisi gelap di sebalik keindahan hidup yang sering kita dambakan.
“Lagu ini menyampaikan mesej tentang kebenaran dalam hidup. Kita semua suka kejar ‘benda-benda’ yang indah, tapi untuk capai keindahan itu, banyak benda susah atau buruk yang perlu dilalui.
“Impiana bagi saya bukan sekadar lagu tentang impian, tapi tentang realiti yang kadang-kadang kita sendiri tidak mahu hadap,” jelas Adrianna.
Bagi Adrianna, Impiana menjadi wadah untuk dirinya meluahkan perasaan sebenar tentang kehidupan yang tidak selalu seindah seperti yang digambarkan, dan di sebalik kesusahan itu, tetap ada keindahan ‘kecil’ yang patut disyukuri.
“The Grass Is Greener On The Other Side” — Perjalanan Seorang Pendatang Baharu
Antara bait paling menonjol dalam Impiana adalah baris “The grass is greener on the other side”, yang bukan sekadar frasa universal, tetapi turut menjadi refleksi perjalanan karier Cinta sebagai artis muda.
“Saya masih baru dalam industri ini. Jadi bagi saya, memang ada bahagian rumput yang ‘hijau’ dan ada yang ‘perang’. Setiap pencapaian kecil datang selepas melalui sisi yang ‘perang’ dulu.
“Tapi bila dah sampai dekat sisi yang ‘hijau’ itu pun, tetap ada durinya juga,” katanya tersenyum.
Lirik itu menurut Cinta, sangat dekat dengan realiti hidup kerana sering kali apa yang kelihatan sempurna di luar belum tentu bebas dari cabaran di dalam.

Rakaman Tengah Malam, Suara Jujur Dari Hati
Untuk mendapatkan emosi yang tulen dan suasana yang lebih mendalam, sesi rakaman Impiana dijalankan pada jam 1 pagi, atas saranan penerbit muzik, Farouk Roman.
“Farouk mahu saya sampaikan lagu ini dengan cara yang lain dari biasa. Jadi saya tidur dulu dan bangun semula tengah malam untuk dapatkan suara yang ‘raspy’ dan ‘mood’ tenang.
“Lagu ini perlukan rasa yang ‘natural’ bukan dibuat-buat kerana mesejnya tentang kejujuran,” ujarnya yang mengakui ia antara pengalaman paling unik dalam kariernya.
Nilai Kesyukuran Sebagai Tunjang
Di sebalik nada melankolik dan introspektif, Impiana turut menonjolkan nilai kesyukuran sebagai elemen penting dalam kehidupan.
“Kalau kita tidak bersyukur, kita tidak akan tahu bila masa untuk berhenti. Orang yang tidak bersyukur ini akan terus kejar sehingga lupa diri, dari situlah datang tekanan, pertengkaran, malah penyakit. Bila kita belajar bersyukur, barulah kita tahu nilai sebenar setiap usaha,” jelasnya.
Mengejar Impian Dalam Dunia Penuh Ilusi
Cinta juga sedar bahawa industri hiburan penuh dengan perbandingan dan tekanan. Namun baginya, kunci untuk kekal berpijak pada realiti adalah dengan terus bergerak, walau perlahan.
“Dalam dunia muzik sekarang ini, tidak kira setinggi mana kita pergi, akan sentiasa ada orang yang lebih hebat. Tapi selagi kita terus berjalan dan faham hala tuju kita, itu dah cukup. Jangan berhenti.
“Bila berhenti, orang lain akan ke depan. Tapi bila kita faham perjalanan itu, Insya-Allah kita akan kekal lama,” katanya tekad.
Sebagai seorang yang masih belajar dan berkembang dalam dunia seni, Adrianna Cinta berharap Impianamampu memberi kekuatan dan inspirasi kepada generasi muda untuk melihat impian dari sudut yang lebih realistik dan berjiwa.
“Pesanan saya untuk sesiapa pun yang sedang mengejar impian — sentiasalah bersyukur. Untuk capai impian besar, harus lalui impian kecil dulu.
“Setiap kali kita berjaya capai sesuatu, walaupun kecil, berhenti sejenak dan hargai. Itu tanda kemajuan sebenar,” katanya.
“Saya juga berharap Impiana dapat menyentuh hati semua pendengar. Kadang-kadang kita kejar sesuatu yang kita sangka bahagia, tapi akhirnya kita sedar kebahagiaan sebenar datang dari kejujuran dan rasa syukur. Jika lagu ini boleh buat orang berfikir sejenak dan hargai diri, saya sudah bersyukur,” ujar Cinta menutup bicara.
Kini Tersedia Di Semua Platform Digital
Single “Impiana” kini sudah boleh didengarkan di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer sejak 31 Oktober lalu. – KopiPlanet.com



