EventHiburan

AIM24 Umum Top 5 Bagi 26 Kategori… Aina Abdul, Ernie Zakri & Dayang Nurfaizah Ungguli Sembilan Pencalonan

Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G dan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi, kini memasuki fasa seterusnya yang lebih mendebarkan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini tampil mengumumkan senarai 5 finalis bagi 26 kategori AIM24 yang dipertandingkan. 

Lebih mengujakan, ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) juga menanti pemenang AIM24 bagi 11 kategori.  

Dalam sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata seramai 130 finalis telah terpilih bagi 26 kategori anugerah yang membariskan senarai Top 5 atau lima terbaik.

“Pemilihan semua 5 finalis ini telah dibuat oleh sejumlah juri profesional yang bersidang baru-baru ini dan keseluruhan permarkahan juri telah diaudit oleh firma pengauditan bertauliah, Mazars. Proses penjurian pula diurus tadbir oleh badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn. Bhd..

“Barisan juri yang dilantik telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, dedikasi dan telus. Hasilnya, kita telah memperoleh senarai lima terbaik bagi 26 kategori AIM24 seperti mana pengumuman pada hari ini. Saya cukup teruja melihat senarai lima finalis ini kerana ia merangkumi bakat-bakat baru yang sedang menyinar selain artis-artis ternama yang telah lama menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.

“Dengan dana sumbangan Kementerian Komunikasi melalui dana MyCV pula, 11 pemenang AIM24 kelak tentunya akan mampu menghasilkan lebih banyak kandungan muzik berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.

“Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ‘Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu,” kata Rosmin.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi, Puan Noreen Iszani Yusak; Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics (SME), Puan Agnes Wong; Pengurus Media Samsung Malaysia Electronics (SME), Encik Dinie Zulfadhli serta Ketua Bahagian Hiburan & Acara Resorts World Genting, Cik Chia Lee Yun; Penolong Naib Presiden MyCreative Ventures Sdn Bhd, En Muhammad Nadzmi Musa. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Puan Caren Lau;  barisan Ahli Lembaga Pengarah RIM serta barisan finalis AIM24. 

Sebelum ini, RIM menerima sejumlah 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan iaitu antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.  Penjurian fasa pertama AIM24 untuk kategori ‘Rakaman Lagu Terbaik’ dan ‘Rakaman Album Terbaik’ telah berlangsung di Timeless Studio, pada 14 dan 15 Julai 2025, disusuli semua kategori lain di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Julai 2025. Kategori ‘Lagu Terbaik’ AIM24 pula dilaksanakan di Timeless Studio pada 29 Julai 2025.

Panel juri AIM24 dianggotai pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik, perunding imej dan sebagainya. Penjurian itu dikemudikan oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.

Dalam pada itu, tiga penyanyi popular iaitu Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri mengungguli pencalonan apabila ketiga-tiganya tercalon dalam sembilan kategori.

Malam kemuncak AIM24  bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada  Sabtu, 13 September 2025, mulai jam 9 malam. Namun acara karpet merah akan bermula jam 8 malam. Ia akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui TV2 dan RTM Klik.

AIM24 kali ini mempertandingkan sejumlah 30 kategori secara keseluruhan termasuk 4 kategori terbaharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’.

Sebanyak 6 kategori akan diumumkan melalui  Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025 iaitu ‘Kulit Single/Album Terbaik’, ‘Rakaman Album Terbaik’, ‘Rakaman Lagu Terbaik’, ‘Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu’, ‘Lagu Paling Tinggi  Distrim’ serta ‘Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube’, sementara 24 kategori utama akan diumumkan pada malam kemuncak 13 September.

Selain Kementerian Komunikasi dan Samsung Galaxy A56 dan A36 5G, AIM24 juga mendapat tajaan Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi manakala rakan strategik termasuklah Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio.

AIM mula dianjurkan di Malaysia pada 1993 yang menyaksikan “Dekat Padamu” (Ning Baizura) diumumkan sebagai ‘Album Terbaik’ manakala “Satu” (Tan Sri SM Salim & Datuk Zainalabidin) dinobatkan sebagai ‘Lagu Terbaik’.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button