
Aisha Retno Jalin Kerjasama Dengan Ade Govinda Menerusi Single Baharu Semoga Saja
Aisha Retno, satu nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Aisha sememangnya dikenali dengan karakter vokal yang khas serta mempunyai karya hits seperti “Mengikat Jiwa”, “Nukilanku”, “W.H.U.T”, “Pencarianku”, dan “Sutera”.
Sejak mula bertapak secara profesional sebagai anak seni pada 2018, Aisha sentiasa aktif berkarya hingga wajahnya pernah terpampang pada papan iklan digital tersohor dunia di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Aisha juga pernah menjadi duta Spotify bagi kempen EQUAL untuk Malaysia dan Singapura pada tahun 2022. Kini, Aisha memperkuatkan lagi portfolio seninya menerusi single terbaharu berjudul “Semoga Saja” – hasil kolaborasi dengan pemuzik dan produser ternama Indonesia, Ade Govinda .
Berbeza dengan kolaborasi Ade Govinda terdahulu yang kebanyakannya bernuansa pop-ballad, kali ini “Semoga Saja” menampilkan nuansa baharu dengan susunan tempo yang medium namun tetap sarat dengan emosi.
Ia menggambarkan rasa kehilangan dan doa bagi seseorang yang telah pergi. Lagu ini juga menonjolkan sisi vokal Aisha yang lembut namun kuat, dibalut muzik dengan nada dan harmoni yang indah – ternyata ciri khas dalam lagu Ade Govinda seperti sebelum ini sentiasa menyentuh hati.
Menerusi lagu “Semoga Saja” ini, Aisha juga turut bertindak selaku penulis lirik bersama Ade Govinda.
Single ini dilancarkan bersama dengan video muzik rasmi yang diarahkan oleh Bagoes Tresna Adji. Proses penggambaran telah berlangsung beberapa bulan lalu di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia.
Kisah visualnya memperlihatkanAisha menyelami rasa yang masih menyimpan harapan akan kembalinya seseorang yang dicintai, sesuai dengan tema besar lagu ini. Bagoes Tresna Adji menekankan, “Menunggu seseorang yang telah pergi membuat kita menggila, namun kedatangannya selalu menenangkan.”
“Sejujurnya, lagu ini bersifat peribadi untuk saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang. Justeru, saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri,” kata Aisha.
Sementara Ade pula menambah, “Semoga dengan adanya kolaborasi ini, kami dapat terus bekerjasama pada masa akan datang.”
“Semoga Saja” boleh dinikmati di seluruh platform muzik digital bermula 19 September 2025. Video muzik rasminya pula boleh disaksikan di saluran YouTube Ade Govinda. – KopiPlanet.com