• FOLLOW US
Event, Hiburan

Konsert Sulung Akim & The Majistret Di Singapura

Akim & The Majistret bakal menjayakan konsert sulung mereka, Konsert Planet Akim & The Majistret di Singapura bagi menghargai sokongan peminat mereka di sana.

Konsert anjuran Adi Media itu dijadualkan berlangsung pada 26 Januari 2018 di Esplanade.

Pengasas Adi Media Nur Dian Mohamad Rashid berkata band itu menjadi pilihan mereka untuk diketengahkan di kota Singa kerana ‘fan base’ Akim & The Majistret yang cukup luas di sana.

“Ia sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong mereka.

“Ia juga sebagai hadiah buat peminat di Singapura yang tidak berkesempatan menonton Akim & The Majistret ke konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas Februari lalu,” katanya pada majlis sidang media pengumuman konsert itu di SukaSucre Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, jurucakap Akim & The Majistret, Zimi berkata mereka menerima pelawaan daripada pihak penganjur kerana ingin menghadiahkan sekali gus menghiburkan peminat di Singapura yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadap mereka.

“Kami cukup terharu dengan sokongan peminat di Singapura bila pertama kali adakan persembahan di sana dalam Anugerah Planet Muzik dua tahun lalu.

“Jadi konsert ini sebagai hadiah buat peminat-peminat Akim & The Majistret di Singapura.

“Dalam konsert berdurasi dua jam itu kami akan mempersembahkan 18 buah lagu termasuk lagu-lagu seperti Obses, Mewangi, Potret dan Lagu Untuk Laila,” katanya.

Selama Zimi, Akim & The Majistret turut dianggotai Akim Ahmad, Gjie, Freddy, Hafeez, Rajwan dan Faoq.

Selepas berjaya menembusi pasaran Singapura, Akim & The Majistret kini bercita-cita ingin melebarkan sayap mereka ke tanah besar China.

“Kami ada menyimpan hasrat dan impian untuk mengembangkan sayap ke China.

“Memandangkan ramai juga peminat berbangsa Cina yang suka mendengar lagu-lagu kami, jadi kami nampa peluang dekat situ malah kami sering diundang ke majlis tertutup yang hanya dihadiri peminat Cina. Tak sangka lagu-lagu kami berjaya tarik minat mereka.

“Kebetulan saya pernah menyanyikan lagu cover Mandarin dan ramai yang menyukainya. InsyaAllah, kalau ada rezeki kaim akan cuba nasib,” kata Akim mewakili ahli kumpulannya.

Untuk Konsert Planet Akim & The Majistret di Singapura, tiket berharga $48 (RM145) hingga $148 (RM452) boleh dibeli secara dalam talian di www.apactix.com. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend