
Album ‘Seharum Nama – Bunga’ Sebuah Transisi Perjalanan & Manifestasi Bunga Isme Dalam Muzik
Bagaikan sebuah perjalanan yang penuh dengan pengembaraan, itu juga yang dirasakan oleh Bunga saat menyaksikan kelahiran album “Seharum Nama – Bunga” yang dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital.
Album yang mengandungi 10 buah lagu itu saling melengkapi bagaikan sebuah transisi kepada perjalanan seninya yang sudah bermula sejak 2019 lagi.
“Alhamdulillah, akhirnya kerja keras dan penat lelah terbayar dengan kelahiran album pertama saya. “Seharum Nama – Bunga” bukan sekadar tanda mata tetapi sebenarnya adalah manifestasi saya terhadap muzik.
“Apa yang dipersembahkan di dalam album ini adalah perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus. Semuanya dilakukan secara cermat, pilihan karya dibuat juga secara hati-hati agar memuaskan hati semua pendengar,” ungkap Bunga bercerita.
Serentak dengan pelancaran album ini juga, Bunga yang bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia melancarkan single Tak Tidur Malam, sebagai ‘peluru’ baharunya.
Selain ‘Tak Tidur Malam’, lagu lain yang terkandung di dalam album ini terdiri daripada ‘Buai’, ‘Jatuh’, ‘Dengarkanlah’, ‘Intan Payung’ (feat Noraniza Idris), ‘Apadehal’ (2025 Mix), ‘Jiwa Raga’, ‘ME[MAHA]MI’, ‘Nak Buat Cane?’ dan’ Jalan Keluar’.
Jelasnya apa yang dipersembahkan kali ini menyerlahkan kematangan dirinya dalam berkarya dengan pemilihan genre muzik yang pelbagai.
“Tidak mudah sebenarnya mahu mengisi 10 buah lagu ke dalam sebuah album. Pilihan yang ada terlalu banyak sehinggakan memberikan sedikit kesukaran kepada saya untuk melakukannya.
“Setiap kali ada naskhah baharu, saya berbincang dengan pihak pengurusan sama ada lagu tersebut sesuai atau tidak. Mereka juga ada pandangan dan sebab memilih atau menolak dan itulah cara kami bekerja.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan pemilihan lagu-lagu ini dan berharap peminat juga puas mendengarnya,” tambahnya yang mengambil masa selama dua tahun untuk melengkapkan sepenuhnya album ini.

Mengakui lebih gemar bereksperimen dalam menghasilkan muzik, itu sebenarnya memberikan banyak pelajaran dan pengalaman baharu buat Bunga dan pasukan yang memberikan warna kepada “Seharum Nama – Bunga”.
Jelasnya, lagu ‘Tak Tidur Malam’ melalui pelbagai proses pra-produksi termasuklah menggunakan khidmat tiga individu berbeza dalam proses mixing dan mastering.
Lagu tersebut dihasilkan dengan inspirasi bunyi dangdut namun ia dilihat tidak kena dengan identiti dirinya dan akhirnya mereka mengolah semula bunyi tersebut seperti yang boleh didengar dalam hasil akhir yang termuat di dalam album ini.
‘Tak Tidur Malam’ merupakan lagu ciptaan Amzar Razqa, Bunga dan Amsyar Razqa merupakan antara karya yang melalui banyak proses pertukaran susunan muzik bagi menyesuaikan dengan kehendak mereka.
Pada akhirnya mereka menggunakan “vibe spooky” dan seram bagi membawa kelainan dan kesegaran kepada yang satu ini.
“Bagi mereka yang mengikuti rapat muzik saya, pasti akan merasai sendiri kelainan yang dipersembahkan. Jika sebelum ini orang mengenali saya dengan lagu Buai atau Intan Payung, kali ini vibe berbeza.
“Saya harap karya ini juga akan memuaskan hati sebahagian besar peminat yang sering ternanti-nantikan sesuatu yang baru daripada saya,” ketika ditemui di TGV Suria KLCC, pada sidang media baru-baru ini.
Terima kasih diucapkan kepada TGV Suria KLCC yang bertindak sebagai penganjur bersama sempena pelancaran album ‘Seharum Nama – Bunga’.
Bercerita mengenai video muzik (MV) pula, Bunga menganggap apa yang dipersembahkan merupakan sebuah perjalanan mencari diri dan mempunyai mesej tersirat yang selama ini dipendam sendiri.
Video muzik ‘ME[MAHA]MI’, ‘Tak Tidur Malam’, dan ‘Dengarkanlah’ semuanya mempunyai jalan cerita khusus dan dilakukan seperti sebuah filem pendek yang mempunyai jalan cerita tersendiri.
Sebagai simbolik kepada pelancaran album ini juga, Bunga turut melancarkan edisi khas piring hitam selain mengeluarkan merchandise berkolaborasi bersama jenama High Cultured yang akan menemui peminat tidak lama lagi.