EventHiburan

AME 2020 Berlangsung 20 Disember, Diteruskan Ikut SOP Tanpa Kompromi

Setelah enam kali dianjuran, buat pertama kalinya juga, Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) bakal berlangsung mengikut norma baharu
berdasarkan ketetapan SOP yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Masih mengekalkan tema ‘Epik Glam’ dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’, AME 2020 bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 20 Disember ini.

Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro, Raqim Ahmad berkata, tahun 2020 cukup mencabar kerana krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia ternyata telah mengubah pola kelaziman biasa kepada resam baharu secara menyeluruh.

“Sebagai stesen TV satelit berbayar, Astro juga turut terkesan dengan impak tersebut. Pelbagai perancangan yang sudah dirangka awal terpaksa ditunda dan harus diganti dengan pelan baharu serta merta, manakala garis masa juga harus dirombak semula bagi memastikan tanggungjawab kepada para pelanggan tidak terjejas.

“Walaupun sukar, kami berbesar hati kerana dapat menyempurnakan penganjuran AME 2020 yang sudah pun menjadi rutin tahunan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014. Kami juga cukup teruja untuk berkongsi keputusan penuh edisi kali ini yang merupakan pilihan peminat sebelum dunia berubah akibat Covid-19,” ujarnya.

AME adalah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah kategori utama yang dipertandingkan.

Keputusan penuh penganjuran AME 2020 bagi setiap kategori sudahpun dikenal pasti setelah kiraan rasmi dibuat sejurus selepas talian undian fasa kedua ditutup pada 31 Mac yang lalu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan situasi semasa yang penuh kekangan juga tidak pernah dilihat sebagai halangan, malah ia menjadi pembakar semangat yang mendorong pihak bekerja dengan lebih keras untuk berkarya secara kreatif dan di luar zon kebiasaan secara satu pasukan.

“Kami juga ingin tekankan bahawa penganjuran ‘AME 2020’ bukanlah berlandaskan kepada hiburan semata-mata kerana ia merupakan platform interaktif yang terbaik untuk menyalurkan maklumat penting dan efektif kepada para penonton.

“Acara ini juga memainkan peranan untuk memudahkan proses normalisasi kepada amalan norma baharu dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas krisis ini berakhir. Keputusan untuk meneruskan penganjuran AME 2020 adalah tanda penghargaan dan
ucapan terima kasih kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini,” ujarnya.

AME 2020 akan bersiaran pada pukul 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Manakala rakaman acara ‘Karpet Merah AME2020’ yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Istimewa untuk pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, ‘AME 2020’ turut didatangkan dengan format kualiti 4K UHD menerusi saluran khas 780. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘AME 2020’ turut boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button