
Selaku pembekal kandungan hiburan utama di Malaysia, Astro menyambut baik inisiatif kerajaan membenarkan peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi kawasan sekitar Lembah Klang khususnya yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.
Susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sektor industri kreatif untuk negeri dalam Fasa 3, pihak Astro dengan berbesar hati membawakan kembali penganjuran anugerah pilihan penonton, Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 untuk tahun kelapan bagi meraikan karya dan personaliti paling menyerlah sepanjang tahun 2020 yang merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, sebagai pemain utama industri kreatif tanah air, keprihatinan dan inisiatif kerajaan yang mengumumkan peralihan Fasa 3 dan pembukaan semula industri seni kreatif telah memberi sinar baharu dan kelegaan serta-merta kepada mereka setelah segala aktiviti berkaitan sektor ini tergendala selama berbulan- bulan lamanya.
“Meskipun kerancakan aktiviti seni dan acara hiburan pasca pandemik mungkin tidak lagi meriah sepertimana sebelumnya, namun ia tidak sedikitpun menggugat usaha kami untuk beradaptasi secara inovatif agar dapat terus membekalkan kandungan berkualiti sekaligus bergerak ke hadapan demi kelangsungan industri.
“Semoga pengiktirafan kepada sumbangan dan pencapaian penggiat seni yang diberikan menerusi inisiatif penganjuran ‘AME’ ini dapat memberi permulaan yang baik terhadap kerjaya seni mereka sekaligus melonjakkan semangat untuk terus berkarya dengan cemerlang,” jelasnya.
Bagi menambah baik sekaligus memberi kelainan segar untuk penganjuran ‘AME 2021’, pengenalan tiga kategori baharu untuk menggantikan dua yang digugurkan dibuat setelah mengambil kira kesesuaian trend semasa yang mencerminkan perkembangan landskap persada seni masa kini supaya tidak ketinggalan.
Jelas beliau, tiga buah kategori baharu bakal dipertandingkan adalah ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Video MeleTOP’, manakala dua buah kategori yang sedia ada pula digugurkan daripada senarai utama iaitu ‘Hos MeleTOP’ dan ‘Fesyen MeleTOP’.
AME 2021 kembali lebih mantap dan meriah dengan tagline ‘Yang Fresh, Yang Legend’ telah dijadualkan untuk bersiaran secara langsung pada 30 Januari 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand. Istimewa untuk para pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, siaran ‘AME 2021’ juga akan turut disiarkan dalam format resolusi kualiti 4K UHD.
Pengacara versatil, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas ‘AME 2021’ selaku hos utama.
Format penganjuran asal ‘AME’ yang menyerahkan kuasa penuh kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 buah kategori utama masih dikekalkan.
Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang hingga 19 November 2021, jam 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my & Aplikasi SYOK. – KopiPlanet.com
*Senarai Top 20 AME 2021




