
Anak Che Ta Bertunang, Bakal Tamatkan Zaman Bujang Tahun Hadapan… Wajah Bakal Menantu Belum Sedia Didedahkan
Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah buat seorang ibu untuk melepaskan anak sulung lelaki yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang untuk memikul tanggungjawab dan bergelar suami orang.
Itulah yang akan dilalui oleh pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan yang menyatakan momen berkenaan menjadi lumrah yang harus ditelan kerana percaya kepada fitrah manusia hidup berpasangan.
Pada 25 Oktober lalu, anak Che Ta iaitu Ammar Effendy Azuar Effendy telah selamat mengikat tali pertunangan dengan Auni Ikhwan dalam satu majlis yang berlangsung di Lantera Venue.
Bertemakan warna pastel itu, acara pertunangan dianjurkan secara sederhana dan ringkas dihadiri sekitar 500 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat.
Menurut Che Ta, jika tiada aral melintang anak sulung dan bakal menantunya itu akan disatukan pada 26 Jun tahun hadapan.
“Rasa macam baru semalam saya melahirkan dia (Ammar) selepas menempuhi hidup berumah tangga hingga bergelar ibu tunggal. Boleh kata, dia banyak melihat suka duka saya menjalani kehidupan.
“Menjadi anak sulung hingga bergelar abang kepada dua adiknya, dia umpama pelindung kepada saya dan anak. Kini, detik untuk dia pula memulakan kehidupan sendiri bergelar tunangan dan seterusnya diijab kabul bersama bakal isteri kelak.
“Insya-Allah, semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan. Kami termasuk keluarga bakal besan pun sepakat untuk tidak membiarkan lama mereka dalam fasa pertunangan,” katanya yang kini kembali aktif berlakon membintangi drama Bahagia Yang Tertangguh arahan Osman Ali di samping Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Mimi Ernida dan Riz Amin.

Saat bercerita mengenai anak, umum tahu sikap Che Ta yang begitu ‘memanjakan’ tiga anaknya termasuklah Aniq Ezra dan Aaisyah Dhia Rana (anak menerusi perkahwinan kedua dengan Zain Saidin).
Justeru, persiapan pertunangan Ammar dan Auni juga tidak dilepas tangan begitu sahaja.
“Dari urusan tempahan pakaian, dulang pertunangan hingga ke lokasi majlis juga sudah pasti saya ambil tahu dan lunaskan apa yang perlu. Namun setiap input cadangan baik dari Ammar dan keluarga tunangnya tetap diutamakan.
“Macam permintaan keluarga sebelah sana juga dipenuhi termasuklah untuk tidak lagi berkongsi wajah tunangnya terlebih dahulu.
“Hal sebegini tentunya membabitkan dua keluarga yang masing-masing mengharapkan terbaik untuk Ammar dan Auni. Majlis Kahwin pun beberapa bulan lagi. Pejam celik sudah dekat hari bahagia mereka,” katanya yang turut terbabit membintangi projek filem Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen.
Sempat ditanya mengenai apakah nanti selepas anaknya itu berkahwin akan sama-sama menetap di rumah agamnya di Kota Damansara, Che Ta sentiasa terbuka dalam hal itu.
“Masih terlalu awal untuk cakap hal itu. Tapi saya dan suami okey sahaja kalau Ammar dan Auni nak menetap sekali di rumah nanti selepas berkahwin.
“Kalau Ammar dan Auni okey, saya pun tak keberatan. Bertambah meriahlah nanti rumah itu. Macam sekarang adik lelaki yang kini bertugas sebagai pemandu peribadi saya pun duduk sekali dengan kami Bersama anak dan isterinya.
“Jujur saya terbuka hal ini. Lagipun Ammar dan Auni masih dalam fasa awal pekerjaan mereka. Tapi jika sebaliknya pun, saya hormati privasi mereka yang sudah bergelar suami isteri,.” katanya anggun ditatarias Otong Danish dengan persalinan rona kuning lembut rekaan Ezuwan Ismail.

Dalam pada itu, kakak kepada Ayu Raudhah ini berharap Ammar dan tunangnya akan menempuhi fasa pertunangan dengan baik.
“Maklumlah fasa bertunang ini orang kata darah manis. Jadi saya harap, kedua mereka sama -sama menjaga apa yang perlu dijaga termasuk batas pergaulan.
“Kedua-duanya juga kena bijak mengawal emosi dan ego, serta menjaga hubungan baik dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Bab komunikasi terbuka mengenai masa depan, kewangan, dan matlamat hidup adalah sangat penting untuk membina asas yang kukuh sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.
“Saya harap Ammar juga boleh jadi pemimpin dan pelindung buat bakal isterinya. Samalah-samalah jaga diri dan saling melengkapi. Kalau boleh semua yang nak Kahwin, mahu ia terjadi sekali seumur hidup. Selebihnya usaha dan tawakal dalam membentuk ikatan yang Mawaddah, Sakinah dan Wa Rahmah,” Katanya.
Mengalih bicara mengenai dunia lakonan, Che Ta akui begitu rindu untuk kembali berlakon.
“Sudah dua tahun juga saya tidak berlakon. Sebelum ini pun bukan tiada tawaran berlakon, cuma saya lebih tumpukan kepada cabang perniagaan selain sibuk buat ‘live’ Tik Tok jual barang termasuk kaftan.
“Bulan ini pun saya terpaksa korbankan Komitmen buat ‘live’ Tik Tok sebab sudah mempertimbangkan kerja berlakon. Biasalah ada ‘kos melepas’’, tapi mujur ada staf membantu,” Katanya.
Untuk rekod, Ammar kini menyandang tugas sebagai pegawai di sebuah premis bank, Manakala Auni bekerja di sebuah syarikat di Dalam bidang pemasaran.
Terdahulu pada majlis pertunangan itu, Hunny Madu diberi tanggungjawab mengemudi majlis. Malah bagi memperoleh keberkatan majlis, Pencetus Ummah Amin juga diundang membacakan doa.
Malah pereka fesyen otai, Man Kajang turut dipertanggungjawab menyiapkan dulang hantaran untuk kedua belah keluarga.



