• FOLLOW US
Filem, Review

Anak Perjanjian Syaitan Filem Seram Digarap Penuh Nilai Pengajaran

Tajuk: Anak Perjanjian Syaitan
Tarikh Tayangan: 24 Oktober 2019
Durasi: 1 jam 37 minit
Genre: Seram
Pengarah: Helmi Yusof
Pelakon: Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Shahrolnizam Noor, Azlan Komeng, Badrul Muhayat, Attika.
Klasifikasi: P13

Satu lagi filem seram iaitu Anak Perjanjian Syaitan (APS) yang bakal membuatkan anda tidak senang duduk bakal memasuki pawagam bermula Khamis ini (24 Oktober).

Filem seram terbitan Screen Studio Sdn. Bhd. itu mempunyai jalan cerita tersendiri yang lain daripada kebanyakan filem hantu yang pernah ada di pasaran sebelum ini.

Mengambil latar cerita mengenai pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata, membawa pasangan ini berpindah ke satu kawasan kampung bagi mendapatkan angin baharu untuk meneruskan kehidupan.

Perpindahan Cikgu Zaidy dan isterinya, Azlinda ke rumah pusaka arwah neneknya juga adalah salah satu sebab untuk ‘melarikan diri’ daripada tekanan yang diberikan ibu Zaidy, Rahmah yang sering kali mendesak pasangan itu untuk segera mendapatkan cahaya mata.

Namun, lain halnya bila mereka sudah berpindah ke rumah tersebut apabila Azlinda sering kali berhadapan dengan kejadian aneh dan mistik sehinggakan membuatkan dia tidak senang duduk di rumah itu.

Selepas menonton filem arahan Helmi Yusof ini boleh dikatakan filem ini membawa satu nafas baharu dalam filem bergenre seram tempatan.

APS memaparkan lakonan cemerlang Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong dalam menjayakan watak pasangan suami isteri, walaupun ini merupakan gandingan kali pertama mereka, namun keserasian di antara kedua-duanya cukup menjadi.

Selain itu, watak Rahmah yang dimainkan pelakon Jasmin Hamid turut memberikan kesan dan impak kepada penonton walaupun dia hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.

‘Jump scare’ yang diberikan bertalu-talu cukup memberikan rencah dalam membawakan momentum seram kepada penonton. Pengarah bijak meletakkan elemen ‘jump scare’ dalam keadaan yang tidak terduga selain kemunculan beberapa entiti yang cukup mengerikan.

Yang menariknya, ia membuatkan anda menunggu hingga ke akhir cerita untuk mengetahui siapakah sebenarnya dalang yang telah menyebabkan huru-hara kepada kehidupan pasangan muda ini. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab di atas semua kejadian misteri dan seram yang menghantui mereka selama ini.

Itu yang membuatkan filem ini lain daripada yang lain apabila penulis pasti kita tidak akan dapat menjangkakan ‘plot twist’ sebegitu yang diberikan oleh penggarap filem ini.

Satu lagi pujian yang harus diberikan ialah kesan bunyi yang cukup menyeramkan dan kena dengan situasi yang dipaparkan. ‘Sound effect’ tidak mengganggu perjalanan cerita bila disunting cukup baik bagi menyempurnakan lagi sesuatu babak seram itu.

Di akhir cerita, penulis percaya akan terbit rasa keinsafan pada hati setiap penonton kerana naskhah ini turut memberikan nilai pengajaran yang cukup bermakna lebih-lebih lagi buat mereka yang mungkin pernah berhadapan dengan situasi sama seperti watak utama filem ini.

Ayuh, ramai-ramai set temu janji anda untuk menonton Anak Perjanjian Syaitan di pawagam berhampiran anda bermula Khamis ini. – KopiPlanet.com

Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend